Ads Top

M.Nasir, Ella & Siti Nordiana Meriahkan Konsert Melestarikan Alam Sekitar

Beberapa barisan penyanyi popular seperti Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella dan Siti Nordiana antara selebriti yang telah memeriahkan konsert virtual, Green Concert yang dianjurkan sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020 yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini.

Konsert yang diacarakan oleh Joey Daud itu telah pun berlangsung dan dirakamkan pada 16 Oktober lalu di Petaling Jaya dengan mematuhi standard SOP sesi penggambaran yang ketat.

Menariknya, konsert ini boleh ditonton secara virtual di seluruh dunia dengan melayari laman web virtual.com.

Selebriti lain seperti Datuk DJ Dave, Asfan dan Chubby Buskers turut sama memeriahkan konsert ini bagi sama-sama meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelestarian alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif IGEM 2020, Shamsul Mohd Nor berkata, konsert secara virtual (maya) ini adalah pemangkin untuk memperhebatkan kempen meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Ia juga sejajar Industri 4.0 yang memberikan pendedahan luas kepada adaptasi era digital.

“Melalui penganjuran virtual IGEM Green Concert ini kita berharap dapat mempertingkatkan kesedaran orang ramai yang juga peminat artis-artis ini untuk sama sama menghayati mesej yang ingin disampaikan oleh IGEM.

“Saya percaya melalui sentuhan hiburan sebegini, matlamat penganjuran acara kami lebih mudah untuk sampai dan diterima oleh golongan masyarakat,” katanya.

Konsert yang dianjurkan sempena kempen meningkatkan kesedaran peri pentingnya penjagaan alam sekitar ini turut menyenaraikan lagu lagu antaranya, Terima Kasih, Oh La La Tropika dan Standing In The Eyes Of The World.

IGEM 2020 merupakan penganjuran kali ke-11 yang seumpamanya dan melibatkan penyertaan dari seluruh pelusuk dunia.

Bermula 19 hingga 23 Oktober, ia akan membahaskan beberapa topik utama yang melibatkan pengurangan 70 peratus populasi dunia yang tinggal di pinggir sungai, kerjasama menamatkan sisa plastik, pengurangan pelepasan gas dari rumah hijau dan teknologi diod pemancar (LED) yang lebih efisen.

Program ini diadakan secara virtual (maya) akan menyediakan akses 24 jam dan boleh ditonton di seluruh dunia menerusi laman sesawang virtual.com. – KopiPlanet.com

The post M.Nasir, Ella & Siti Nordiana Meriahkan Konsert Melestarikan Alam Sekitar appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.