Maksud Hadis Allah Mempermudahkan Jalan Orang Yang Menuntut Ilmu
“Eish, banyak betul ujian nak grad ni. Hari tu dah nampak bayang nak belajar face to face, sekarang kena start kelas online semula.”
Itulah antara rintihan yang sering kita dengar. Bukan ini sahaja, bahkan banyak lagi keluhan yang keluar dalam kalangan mahasiswa. Semuanya dek COVID-19 yang masih belum sembuh.
Namun, apa yang boleh dilakukan? Sebagai mahasiswa yang merupakan generasi harapan negara, pembelajaran itu tidak akan terhenti. Walaupun keadaannya sudah tidak sama dengan situasi pembelajaran yang dulu, tetapi percayalah bahawa ganjaran yang Allah berikan sentiasa ada bahkan mungkin lebih besar buat anda.
Mengapa lebih besar? Jawapannya mudah, kerana ujian yang dihadapi juga sangat besar. Ada yang menghadapi masalah dengan pihak universiti masing-masing, ada juga yang mengalami masalah rangkaian internet dan kesusahan untuk menyesuaikan diri.
Semua itu dikira dan dinilai oleh Allah sebagai suatu perjuangan dan liku yang ditempuh.
Bahkan, ada sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksud: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah Allah, membaca kitab Allah (Al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisiNya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 4867)
Mengapa Dimudahkan Jalan Ke Syurga
Dalam hadis ini kita dapat lihat akan kehebatan golongan penuntut ilmu. Setiap kesusahan dan kesenangan itu dikira dan dicatat sebagai pahala kebaikan buatnya apatah lagi jika ilmu itu mampu memberi manfaat buat diri sendiri dan juga orang sekeliling.
Tetapi, mengapa orang yang menuntut ilmu dimudahkan jalan ke syurga? Ulama berkata bahawa, jika ilmu itu adalah ilmu yang baik terutamanya yang sentiasa mengingat dan mendekatkan dirinya kepada Allah, maka itulah yang akan memudahkannya untuk menuju Ilahi.
Bayangkan, jika anda tidak mempunyai ilmu untuk menunaikan solat dengan betul. Bagaimana anda boleh melakukan solat dengan sah atau bagaimana anda boleh yakin bahawa ibadah yang dilakukan itu diterima olehNya?
Dan ada sebuah lagi ungkapan yang sering diucapkan – “Harta itu, kita yang menjaganya. Tetapi ilmu, ia yang akan menjaga kita.”
Dengan pengetahuan, ia boleh membantu kita dari pelbagai aspek sama ada berkenaan duniawi mahupun ukhrawi.
Dan ilmulah yang membantu kita untuk membezakan perkara yang baik dan tidak baik.
Disebabkan itu, menuntut ilmu ini memerlukan perjuangan kerana nilainya yang sangat besar dan tiada tandingnya.
Biarlah kita bersusah-susah dahulu, asalkan apabila sudah berjaya kelak, pengetahuan dan ilmu inilah yang akan membantu kita untuk menjadi lebih senang dan terus maju ke hadapan.
Dan semoga ilmu yang diperoleh itu mampu memandu kita ke syurgaNya.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Maksud Hadis Allah Mempermudahkan Jalan Orang Yang Menuntut Ilmu first appeared on Tazkirah.
No comments: