Ads Top

#21 – PKPB? Ini Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Saling Membantu

Pelan Efisien 100 Hari

Berada di era COVID ini bukanlah suatu episod yang mudah. Setiap orang sedang berhadapan dengan perjuangan untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baru diumumkan semalam dan bakal dikuatkuasakan bermula 14 Oktober 2020 menjadikan ramai di antara kita kembali menghadapi perjalanan yang sukar.

Apabila dilihat luahan-luahan yang dilontarkan melalui laman media sosial, ramai yang terkesan dengan situasi ini, baik usahawan, mahasisiwa mahupun para peniaga kecil-kecilan.

Apabila dilanda ujian ini, mulalah terbit perasaan untuk mengeluh, kecewa dan tidak bersyukur. Namun, apabila melihat situasi orang lain yang mengalami kesukaran yang lebih dasyat daripada kita, keluhan itu sedikit sebanyak hilang kerana ada lagi orang yang menghadapi kesukaran lebih hebat daripada kita.

Sebab itu, kita kena sentiasa melihat akan perjuangan hidup orang lain untuk memastikan agar hati kita sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Walau bagaimanapun, pendek kata, semua orang sedang menghadapi masa yang sukar. Namun, apa kata kita ambil ruang dan peluang ini untuk saling membantu sesama kita?

Ini perkara yang mudah untuk diterapkan dalam masa PKPB ini;

#1 – Kekal positif dan sebarkan positiviti – Memang, media sosial adalah hak anda. Terpulang kepada anda untuk menulis apa pun.

Namun, tak salah untuk ambil peluang kali ini untuk sebarkan positiviti. Tak perlu setiap masa tweet perkara yang baik sedangkan hati anda tak mahu melakukannya, tetapi biarlah satu tweet yang dilakukan itu berkualiti dan boleh memberikan impak positif juga kepada orang lain terutamanya buat mereka yang sedang menjalani masa-masa sukar.

#2 – Bantu orang yang memerlukan – Di media sosial, banyak tular mengenai perniagaan kecil atau organisasi yang memerlukan bantuan.

Jadi, tak salah untuk ambil peluang itu bagi memberikan bantuan sekadar kemampuan anda. Tidak perlu jumlah yang banyak sehingga membebankan diri anda sendiri.

Tetapi cukuplah nilai itu sedikit dan ikhlas. Selain itu, yang paling mudah adalah dengan membantu menyebarkan perkara itu agar lebih ramai orang yang boleh membantu.

Anda pun akan turut mendapat pahala kebaikan, bukan?

#3 – Ambil ruang untuk memeriksa keadaan kawan-kawan anda – Kita tidak tahu apa yang orang lain sedang alami.

Ada orang meluahkan keluhan mereka di media sosial, namun ia sekadar diluahkan secara umum, tidak terperinci. Dan ada juga dalam kalangan kita yang memilih untuk mendiamkan diri atau tidak mahu melayan perasaan susah itu.

Jadi, apa kata, ambil ruang sejenak untuk bertanya khabar rakan-rakan. Walaupun ia dilihat kecil atau tidak membantu menyelesaikan masalah mereka, namun keprihatinan yang ditunjukkan itu sedikit sebanyak boleh menambahkan semangat buat mereka.

#4 – Prihatin juga terhadap jiran tetangga – Yang paling dekat dengan kita ialah jiran sekeliling. Walaupun trend yang boleh dilihat sekarang ialah ramai yang kurang bertegur sapa dengan jiran tetangga, namun dalam masa-masa sulit ini, apa kata ubah gaya ini.

Mungkin ada dalam kalangan jiran anda yang akan pulang ke kampung kerana diarahkan work from home, jadi pasti haiwan peliharaan seperti kucing ataupun tanaman mereka memerlukan seseorang untuk menjaganya.

Jadi, ambil ruang itu untuk menolong mereka. Setidaknya, tolong tengok-tengokkan rumah mereka agar selamat daripada acaman lain.

#5 – Sentiasa ingatkan yang tersayang tentang dos and don’ts PKPB – Jauh dari keluarga tidak bermaksud anda tidak boleh menjaga mereka.

Ambil ruang ini untuk sentiasa mengingatkan mereka mengenai ‘pantang larang’ dan peraturan yang ada terutamanya yang membabitkan kesihatan serta keselamatan mereka.

Hantar maklumat semasa dalam kumpulan perbualan serta beritahu mereka mengenai maklumat yang sahih untuk mengelakkan mereka terjebak daripada berita-berita palsu.

Mudah sahaja untuk menjadi manusia baru yang sentiasa berbuat baik walaupun kita sedang berjuang dengan COVID-19.

Yang paling penting ialah sentiasa sebarkan kebaikan agar orang sekeliling anda juga boleh mendapat manfaat darinya.

#Menuju2021
#PE1H

The post #21 - PKPB? Ini Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Saling Membantu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.