Hayati Tujuan Penciptaan Manusia Di Muka Bumi
Manusia yang mula-mula dicipta oleh Allah adalah Nabi Adam AS. Kemudian Allah menciptakan pula pasangan baginda, iaitu Hawa.
Daripada mereka, manusia mula berkembang biak dan disebabkan itu kita digelar sebagai anak cucu dari Nabi Adam AS yang merupakan sebaik-baik penciptaan di muka bumi ini.
Proses penciptaan manusia sendiri begitu unik dan teliti sehingga tidak ada suatu pun ciptaan yang mampu menyaingi penciptaan Allah kepada manusia.
Kita dijadikan oleh Allah SWT dengan pelbagai rupa dan bangsa. Setiap dari manusia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbanding dengan manusia yang lainnya.
Mafhum: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.” (Surah An-Nisa, 4:1)
Bagaimana Manusia Diciptakan
Allah telah pun menyebut satu persatu proses penciptaan manusia di dalam Al-Quran sebagaimana yang disebutkan menerusi kalamNya;
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati yang berasal daripada tanah. Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat dan keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta” (Surah Al-Mukminun, 23:12-14)
Maka daripada ayat di atas, jelas penciptaan manusia itu sangat rapi dan teratur. Penciptaan manusia bermula dengan benih seorang bapa iaitu sperma dan juga benih ibu yang bercantum di dalam rahim yang digelar nutfah.
Daripada nutfah, ia akan mengalami proses perubahan secara beransur-ansur dan membentuk segumpal darah yang dinamakan ‘alaqah.
Kemudian daripada segumpal darah akan berubah menjadi seketul daging iaitu mudghah. Akhirnya, barulah terbentuk janin yang sempurna dan dilengkapi dengan semua anggota badan sebelum lahirnya ia ke dunia.
Proses kejadian manusia ini terlalu sempurna dan semua anggota badan ditempatkan dengan sebaiknya serta dapat berfungsi sesuai dengan aturannya. Allah SWT berfirman melalui surah At-Tin ayat ke-4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”
Apa Tujuan Manusia Diciptakan
Lalu setelah lahirnya manusia di muka bumi, apa yang manusia perlu lakukan? Adakah mereka boleh hidup bebas tanpa melakukan apa-apa? Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah;
Mafhum: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya tentang nikmat ketetapan Tuhan dengan berkata): Adakah engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi ini orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan); padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”
Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Khalifah ialah pengganti. Mereka yang menggantikan umat sebelum ini untuk memakmurkan muka bumi.
Tugas memakmurkan muka bumi bukan mudah, tetapi ia tidak mustahil jika dilakukan mengikut aturan serta syariat yang Islam anjurkan.
Islam adalah agama yang menyeluruh yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Tanggungjawab sebagai khalifah adalah tugas yang harus digalas oleh setiap manusia.
Manusia adalah makhluk yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil tugas bagi memimpin dirinya, keluarga serta seluruh masyarakat ke arah aqidah yang satu dan juga memahami setiap pensyariatan Allah dan sunnah Nabi Muhammad SAW dengan mempunyai tujuan hidup untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Manusia dan semua makhluk lain yang diciptakan oleh Allah sama sekali tidak diciptakan dengan sia-sia melainkan dengan mempunyai tujuan utama dan memenuhi fungsinya di dalam alam ini.
ÙˆَÙ…َا Ø®َÙ„َÙ‚ْتُ ٱلْجِÙ†َّ ÙˆَٱلْØ¥ِنسَ Ø¥ِÙ„َّا Ù„ِÙŠَعْبُدُونِ
Mafhum: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zariyat, 51:56)
Daripada ayat ini kita dapat mengetahui bahawa tugas kita ialah sebagai hamba Allah SWT yang menghuni muka bumi ini.
Sebagai hamba Allah SWT, tugas kita adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya. Pengabdian ini bukan hanya melibatkan ibadah-ibadah wajib dan khusus seperti solat, puasa, haji dan zakat sahaja malah memenuhi semua aspek di dalam kehidupan termasuklah urusan kehidupan harian.
Islam telah pun mengajar dan menunjukkan setiap kaedah dan tatacara bagaimana untuk melaksanakan kewajipan kita sebagai seorang hamba Allah SWT.
Bukan sahaja manusia malah jin juga diciptakan untuk melakukan pengabdian kepada Allah SWT.
Lakukan apa sahaja yang diredai Allah dan elakkan dari berlaku syirik. Perbuatan syirik dan menyekutukan Allah adalah bertentangan dengan apa yang digariskan oleh Islam. Manakala kezaliman dan penganiayaan juga adalah tidak sesuai dengan perundangan Islam.
Maka, di dalam apa jua tindakan, sebagai seorang hamba kita haruslah menjauhkan diri daripada apa yang ditegah oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Indahnya Islam sebagai salah satu gaya hidup yang lengkap tidak dapat dinafikan lagi. Manusia tidak akan sesat sekiranya benar-benar menjalani kehidupan berdasarkan Al-Quran dan sunnah.
Kenikmatan dunia dan keseronokkannya boleh dicari namun tidak boleh dijadikan sebagai tujuan utama apatah lagi sehingga melanggar hukum-hakam di dalam Islam.
Sekiranya kita benar-benar faham apa tujuan penciptaan manusia, sudah tentu kita akan mengurus kehidupan kita ke arah ketaqwaan kepada Allah dengan mengambil syariat islam sebagai dasar untuk melaksanakan sesuatu.
Sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Taqwa adalah dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan setiap larangannya.
Mereka inilah yang akan mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT. Mari bersama-sama untuk kita terus mencari kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan di akhirat.
The post Hayati Tujuan Penciptaan Manusia Di Muka Bumi first appeared on Tazkirah.
No comments: