Hukum Bertasbih Menggunakan Biji Tasbih, Adakah Sunnah
Zikir merupakan amalan ringan dan mudah untuk dilakukan tetapi mempunyai ganjaran dan pahala yang sangat besar dari Allah SWT.
Apabila diamati, ada pelbagai cara dan jenis zikir yang ada. Dalam masa yang sama, setiap dari kita mempunyai cara berzikir yang paling disukai dan jenis zikir yang digemari.
Cara zikir yang ada seperti dengan hanya berzikir di dalam hati, menghitung zikir menggunakan jari atau tasbih; ia adalah perkara yang biasa kita lihat berlaku di sekeliling kita.
Namun, berkenaan dengan berzikir menggunakan tasbih, adakah ia sunnah yang pernah diamalkan oleh Baginda SAW atau dari mana amalan tersebut bermula?
Sebelum itu, kita melihat kepada sebuah hadis yang menunjukkan bahawa sunnah Baginda SAW yang sering diamalkan ialah dengan menghitung zikir menggunakan jari jemari.
Mengapa? Kerana di akhirat kelak, ia akan menjadi sebagai salah satu saksi kepada diri kita terhadap amalan yang dilakukan.
Dari Yusairah, seorang wanita Muhaijirin berkata, Baginda SAW bersabda kepada kami;
Maksud: “Hendaknya kalian bertasbih (ucapkan subhanallah), bertahlil (ucapkan Laa ilaaha Illah Allah) dan bertaqdis (menyucikan Allah) serta hitunglah jari jemari kalian kerana itu semua akan ditanya dan diajak berbicara (pada hari kiamat). Janganlah kalian lalai yang boleh membuat kalian lupa dengan rahmat Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 3583. Imam Adz-Zahabi dan Al-Hafiz Abu Thahir mengatakan hadis ini hasan)
Jadi, sunnah menghitung zikir menggunakan jari-jemari kanan. Berkaitan dengan biji tasbih pula, disebutkan oleh beberapa pendapat ulama bahawa tiada riwayat yang menyebut Baginda menggunakan alat lain untuk berzikir selain daripada jarinya.
Walau bagaimanapun, ulama berpendapat bahawa perbuatan tersebut masih boleh dilakukan kerana Baginda SAW tidak pernah menghalang orang sekelilingnya daripada melakukannya.
Ibnu Taimiyyah berkata bahawa Baginda pernah melihat salah seorang dari isterinya bertasbih menggunakan batu kerikil dan Baginda tidak menghalangnya. Dalam riwayat lain juga menyebut bahawa Abu Hurairah pernah juga bertasbih menggunakan batu kerikil.
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa ia bergantung kepada niat;
Pertama, haram hukumnya bertasbih menggunakan biji tasbih jika diniatkan untuk menunjuk. Hal ini boleh berlaku jika seseorang itu membawa biji tasbih sama ada dengan menggantungkan ia di leher atau membawanya di tangan.
Jika boleh menimbulkan riak atau perasaan menunjuk-nunjuk, maka hukumnya adalah dilarang.
Namun, jika memang diniatkan untuk menghitung tasbih menggunakan biji tasbih itu tanpa terselit perasan riak, maka ia adalah dibolehkan.
Jumhur ulama berpendapat bahawa, walaupun ia tidak termausk dalam amalan yang dilakukan oleh Baginda SAW, namun Rasulullah tidak pernah menghalang orang sekelilingnya daripada melakukan demikian. Justeru, perbuatannya dibolehkan.
Kesimpulan
Berzikir boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan sama ada sekadar di mulut atau melibatkan pergerakan jari jemari.
Keadaan ini dibolehkan selagi ia tidka membawa kepada perkara-perkara yang tidak diredai Allah kerana niat utama zikir adalah dengan mengingati dan memuji Allah.
Tidak mengapa jika berzikir tanpa menggunakan biji tasbih. Namun, jika ingin menggunakannya juga dibolehkan, tetapi pastikan niat itu perlu dijaga.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Rumaysho.com
The post Hukum Bertasbih Menggunakan Biji Tasbih, Adakah Sunnah first appeared on Tazkirah.
No comments: