Ads Top

Covid-19: Showcase 25 Tahun Umbrella Terpaksa Dibatalkan

Walaupun segala persiapan sudah dilakukan, dengan berat hati, kumpulan Umbrella terpaksa akur di atas pembatalan showcase istimewa demi menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Disember depan.

Pembatalan itu dibuat berikutan wabak Covid-19 yang semakin meningkat naik kebelakangan ini termasuk mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober lalu.

Vokalisnya, Zarul berkata, “Biarpun showcase dibatalkan, kesempatan yang ada sepanjang berlangsungnya PKPB ini digunakan sebaik mungkin oleh setiap ahli kumpulan Umbrella untuk berlatih bagi memperbaiki mutu persembahan kami di masa hadapan.”

Sementara itu, Pengarah Urusan Umbrella Music, Datuk Rizal Shah menjelaskan keputusan yang dibuat itu adalah amat berat bagi mereka memandangkan banyak persiapan sudah dilakukan untuk menjayakan showcase tersebut.

“Mengikut perancangan, Umbrella sepatutnya akan mengadakan sebuah sidang media bagi mengumumkan mengenai ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’ yang bakal berlangsung pada bulan Disember nanti. Namun berikutan kenaikan kadar kes positif jangkitan Covid-19, Umbrella telah memutuskan untuk membatalkan sidang media dan showcase berkenaan,” ujarnya.

Selain Zarul, kumpulan yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu turut dianggotai Rizal (pemain gitar), Hafizz (pemain bass) dan Saiful (pemain dram). – KopiPlanet.com

The post Covid-19: Showcase 25 Tahun Umbrella Terpaksa Dibatalkan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.