Ads Top

Aku Bukan Gila Angkat Tema Penyakit Bipolar Yang Semakin Meruncing

Penyakit bipolar bukan satu penyakit baharu di kalangan masyarakat moden masa kini dan mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai perkara itu, syarikat produksi, Pencil Pictures tampil dengan filem terbaharu terbitan mereka, Aku Bukan Gila.

Ditayangkan secara percuma menerusi perkhidmatan penstriman WeTV iflix sejak 6 Oktober lalu, Aku Bukan Gila dibintangi pelakon Fasha Sandha, Beto Kusyairy, Wanna Ali dan Aman Shah.

Filem arahan Rahila Ali ini telah menjalani penggambaran di North Wales pada penghujung tahun 2018. Sebagai teraju utama, Fasha melahirkan keterujaannya terlibat sama dalam projek filem ini yang sememangnya lain daripada naskhah lakonan yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

“Saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada filem ini dan menghidupkan watak Andra, seorang wanita dengan personaliti yang kompleks lagi kuat, yang bergelut dengan kesedihan serta cabaran kehidupan seperti kita semua.

“Peluang keemasan untuk bekerjasama dengan pengarah filem wanita, Rahila Ali dalam penerbitan ini turut memperkasakan saya. Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan WeTV iflix untuk menyebarkan keterujaan serta mesej yang disampaikan filem ini dan berharap dapat menyertai lebih banyak lagi kolaborasi sedemikian pada masa depan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran Aku Bukan Gila yang diadakan di Hotel Flamingo, Ampang baru-baru ini.

Naskhah filem hasil penulisan skrip oleh Amirul Haswendy Ashari itu mengisahkan tentang Andra (Fasha) yang merantau ke perkampungan Beddgelert di North Wales untuk melarikan diri daripada kekangan keluarga serta mengubati hatinya selepas kematian ibu tersayang.

Tanpa diduga, takdir mempertemukannya dengan Andre (Beto). Walaupun pada awalnya Andra banyak berselisih pendapat dengan Andre, mereka akhirnya berjaya mengatasi perbezaan yang wujud di antara mereka.

Namun, apabila Andra mula masuk campur dalam kehidupan silam Andre, jejaka itu bukan sahaja mula berasa tidak selesa bahkan meragui kesihatan mental Andra. Ciri kompleks kedua-dua pelakon utama filem ini akan membuka mata penonton kepada isu kesihatan mental, yang akan diterokai lagi dalam sebuah babak khas yang turut diselitkan pada penghujung cerita. – KopiPlanet.com

The post Aku Bukan Gila Angkat Tema Penyakit Bipolar Yang Semakin Meruncing appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.