Sahkah Ibadah Sunat Yang Dilakukan Tanpa Niat
Niat merupakan asal sesuatu ibadah dan setiap amalan juga bergantung kepada niat. Jika ia adalah wajib, maka ia dikira sebagai rukun dan syarat sah sesuatu amalan. Contohnya, solat, puasa dan Haji.
Ibadah-ibadah ini, jika dilakukan tanpa niat maka tidak sah kerana ia adalah ibadat wajib yang mempunyai syarat dan rukunnya tersendiri.
Manakala, jika ibadah sunat yang lain seperti berwuduk, membaca Al-Quran dan sedekah, jumhur dari mazhab syafi’e berpendapat bahawa ia memerlukan niat juga kerana merupakan salah satu syarat sah kepada ibadah tersebut yang membolehkannya meraih pahala.
Namun, menurut ulama Mazhab Hanafi, niat untuk ibadah-ibadah sunat tersebut adalah sebagai syarat sempurna kepada ibadah tersebut untuk mendapatkan pahala. Maka, jika tidak diniatkan juga, ibadahnya masih sah.
Walau bagaimanapun, dalam hal ini seharusnya setiap perkara yang dilakukan perlulah diniatkan kerana Allah.
Hal ini disebabkan setiap perkara yang dilakukan perlulah menambahkan keimanan dan ingat kita kepadaNya.
Maksud: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka, sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasulNya dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia, untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1907)
Imam Al-Ghazali juga berkata – “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah lebih tingi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat yang lurus dan hati yang ikhlas itulah yang boleh membuat amal seseorang itu diterima oleh Allah.” (Al-Kafi Syarah Hadis, 40,8)
Disebabkan itu, seseorang perlu menjaga hati dengan sentiasa meniatkan setiap perbuatan baik yang dilakukan adalah kerana Allah agar ibadatnya itu dikira dan tidak menjadi sia-sia.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Sahkah Ibadah Sunat Yang Dilakukan Tanpa Niat first appeared on Tazkirah.
No comments: