Ads Top

Bolehkah Mimpi Dijadikan Petanda Dan Hujah

Kata orang mimpi adalah mainan tidur. Ada pula yang menganggap bahawa mimpi membawa mesej yang benar kepada seseorang. Kadang-kala ia terasa sangat jelas dan seperti benar-benar berlaku.

Mimpi Ada 3 Jenis

Walau bagaimanapun dalam Islam, Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa mimpi itu ada tiga jenis. Pertama ialah gangguan syaitan, kedua mimpi yang berpunca daripada apa yang difikirkan dan terbawa-bawa ke dalam tidur dan yang terakhir ialah mimpi baik yang dianggap sebagai satu bahagian daripada kenabian.

Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” (Riwayat Ibn Majah, no.3907)

Mimpi-mimpi yang baik adalah mimpi yang dialami oleh para nabi, wali-wali Allah dan orang-orang soleh yang dipilih oleh Allah. Malah pernah diceritakan dalam surah Yusuf, tentang Nabi Yusuf yang diberi ilmu tafsiran mimpi oleh Allah.

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi.” (Surah Yusuf 12: 101)

Ilmu Tafsiran Mimpi Mempunyai Kaedah Yang Khusus

Bermakna memang ada ilmu tafsiran mimpi yang khusus namun perlu berhati-hati kerana ia mempunyai kaedah dan usulnya sendiri. Tidak sedikit yang mengatakan bahawa dia boleh menafsir mimpi lalu menjauhkan lebih ramai orang daripada kebenaran.

Ibnu Sirin menyebutkan bahawa, “tidak semua orang mampu mendalami ilmu takwil mimpi. Hanyasanya yang mampu untuk melakukan perkara tersebut ialah sesiapa yang diberikan hikmah dan penglihatan yang halus oleh Allah bagi mengistinbat simbol-simbol dan mengaitkannya dengan realiti berdasarkan ilmunya terhadap Al-Quran, sunnah, Rasulullah SAW dan kemapuannya melakukan qiyas dan tasybih”

Ilmu tafsir mimpi pula hendaklah datang daripada orang yang beramal soleh, bersikap jujur dan sentiasa berkata benar.

Namun di akhirnya, sebagai kesimpulan, hendaklah mengikut prinsip berikut:

1. Tidak beriktikad dan yakin bahawa takwilan dan tafsiran seratus peratus benar. Ini kerana mimpi hanya bersifat dzaniyyah.

2. Tafsiran tersebut tidak bertentangan dengan aqidah Islam dan tidak membawa kepada melanggar hukum-hakamNya yang telah sabit dengan dalil-dalil syarak.

3. Tafsir dan takwil berdasarkan kepada tafsiran yang benar dan dipercayai seperti kitab-kitab muktabar, orang keilmuan, jujur serta benarnya dia dalam berkata-kata.

4. Tidak membawa kepada perkara yang buruk dan negatif seperti putus asa, lemah semangat, meninggalkan usaha, bersikap pesimis atau terlalu optimis.

Tuntasnya, mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan suatu hukum. Ia juga tidak boleh dijadikan hujah ke atas diri sendiri dan orang lain.

Sebagai manusia biasa, seseorang itu tidak terlepas daripada gangguan syaitan meskipun dia mengatakan bahawa pernah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja merupakan mimpi yang benar dan boleh dijadikan sumber hukum dan hujah syarak. Hal ini kerana, Allah melindungi para nabi dan rasul daripada mainan syaitan. Wallahua’lam.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan

The post Bolehkah Mimpi Dijadikan Petanda Dan Hujah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.