Ads Top

4 Tips Untuk Melalui Hari Anda Dengan Tenang

Orang kata, hidup ini kena chill-chill sahaja, barulah semuanya boleh berjalan dengan tenang dan tidak panik.

Tetapi, ia tidak semudah mendengar atau pun mengungkapkan perkataan itu. Setiap orang pasti punya dugaan dan masalah sendiri yang perlu dilalui dalam hidupnya.

Namun, memilih untuk menjadi chill itu adalah satu perjalanan yang juga dipenuhi dengan liku tetapi jika kita sudah meletakkan nekad untuk menjalani kehidupan dengan tenang, maka insyaAllah jalan tersebut akan dipermudahkan.

Apa itu kehidupan yang chill? Dalam maksud lain juga, ia diibaratkan kita melalui kehidupan ini dengan tenang tanpa terlalu tertekan dengan masalah yang melanda.

Jadi, macam mana cara untuk menghadapi kehidupan dengan tenang? Ini adalah beberapa tips yang boleh diamalkan.

#1 – Jangan Fokus Kepada Masalah

Tak dinafikan, setiap orang dalam dunia ini pasti punya masalahnya yang tersendiri. Ada orang yang sedang bergelut dengan masalah kewangan, ada yang sedang menghadapi dugaan di tempat kerja dan pelbagai lagi.

Namun, itu tidak menjadikan kehidupan anda berhenti di situ. Jika anda fokus kepada masalah berbanding dengan penyelesaian, maka hidup anda tidak ke mana dan tiada kemajuan yang boleh dilihat.

Sebaliknya, fokuslah kepada penyelesaian dan apa yang sedang berada di hadapan kita. Masalah itu boleh menjadi besar jika ia memenuhi ruang kepala kita.

#2 – Hargai Setiap Masa Yang Ada

Kita tidak tahu bila tiba masa kita untuk dijemput Izrail. Boleh jadi sekejap lagi selepas anda selesai membaca artikel ini, boleh jadi esok atau boleh jadi 10 tahun akan datang.

Tetapi, yang pastinya setiap makhluk yang bernyawa itu akan ditarik nyawanya. Jadi, sementara punya waktu ini, hargailah ia dan lalui ia dengan penuh rasa syukur.

Syukur kerana masih diberi peluang untuk hidup hari ini dan syukur kerana masih diberi peluang untuk beribadah kepadaNya. Tidak semua orang mendapat nikmat yangs sebegini.

#3 – Jadikan kesusahan Itu Sebagai Pengalaman

Ada sebuah video yang tular mengenai artis besar tanah air, M. Nasir yang menceritakan permulaan kariernya di dalam muzik yang dilalui dengan penuh cabaran dan liku.

Kemudian, apabila ditanya mengenai kesusahan, beliau menjawab – “Saya tak pernah susah, itu tak penting bagi saya. Saya alami semua benda itu tapi tak faham itu adalah satu kesusahan. Saya rasa itu perkara yang saya perlu laluinya sahaja.”

Apa yang dapat saya faham di sini adalah setiap apa yang dilalui itu merupakan salah satu perjalanan hidup yang perlu dilalui.

Kesusahan, kesenangan, kesakitan dan apa jua yang dirasai itu adalah sesuatu yang boleh memberikan kita pengalaman untuk melalui hari-hari seterusnya.

Dalam hal ini, setiap apa yang kita lalui, ia terpulang kepada diri kita sendiri untuk menerimanya dengan hati yang terbuka atau menganggap ia sebagai satu beban.

#4 – Belajar Memaafkan Diri Sendiri

Apabila kita tidak mendapat apa yang diimpikan atau sesuatu yang kita rancang tidak berjalan mengikut aturannya, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah menerimanya dengan hati yang reda.

Walaupun kegagalan itu berpunca daripada diri sendiri atau orang sekeliling, belajar memaafkan. Jangan menyalahkan diri anda terlalu lama sehingga impian itu boleh terbengkalai.

Cari tahu kenapa kegagalan itu boleh berlaku dan cuba ubah ia untuk merealisasikan impian anda.

Kesimpulan

Ketenangan itu boleh hadir dari pelbagai sudut sama ada dari hati, minda mahupun perbuatan anda sendiri.

Yang paling penting, sentiasa faham bahawa kehidupan dan kebahagiaan anda ditentukan oleh diri anda sendiri dan bagaimana cara anda melalui setiap masalah dan menghargai nikmat yang ada.

Wallahu a’alam.

The post 4 Tips Untuk Melalui Hari Anda Dengan Tenang first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.