Tips Untuk Mengharungi Hari Yang Penuh Dengan Masalah
Dalam menjalani kehidupan, hari-hari kita tidak lari dari masalah. Sama ada ia adalah yang kecil atau yang besar, pastinya ia boleh memberi kesan kepada kehidupan anda.
Ada orang yang mudah merasa kecewa dengan perkara buruk yang terjadi. Ada juga orang yang memerlukan semangat untuk memulai kembali hari dengan penuh perasaan yang positif tanpa memikirkan masalah yang melanda. Dan tidak terkecuali juga ada orang yang sentiasa berfikiran positif kerana dia percaya bahawa semangat itu datang dari dalam diri sendiri.
Walau bagaimanapun, pasti ramai dari kita yang memerlukan semangat dan motivasi dari luaran untuk kekal positif sebagaimana kita yang saling bergantung antara satu sama lain.
Jadi, entri kali ini akan berkongsi beberapa tips menarik yang boleh dijadikan panduan buat anda melalui hari yang suram.
#1 – Ingat Kembali Azam
Setiap orang pasti mempunyai azam masing-masing. Mengapa anda memulakan sesuatu atau apa matlamat untuk setiap pekerjaan yang dilakukan. Itu semua adalah azam yang telah anda letakkan.
Jadi, sebelum anda mengalah, ingat kembali azam yang telah anda niatkan di hati. Kadang-kadang, walau ia adalah sekecil-kecil perkara, namun jika memberi kesan dan impak yang besar kepada anda, maka itu juga boleh membantu anda untuk kekal positif.
#2 – Senyum Dan Ketawa
Mungkin anda pernah dengar, di sebalik senyuman seseorang kita tidak tahu kesedihan yang dialami. Mengapa? Sebab dengan senyumanlah yang boleh membantu seseorang untuk melindungi segala kekecewaan yang dialami.
Bukan itu sahaja, senyum dan kegembiraan juga boleh membantu menghadirkan kebahagiaan dalaman dari diri seseorang.
Yang paling penting ialah, anda yang tahu bagaimana cara yang betul untuk menggembirakan diri sendiri.
#3 – Menangislah Untuk Melegakan
Menangis itu bukan bukti kelemahan tetapi ia adalah untuk menguatkan lagi hati. Jangan malu dengan perasaan sendiri. Sebaliknya, luahkanlah melalui tangisan kerana ia adalah sesuatu yang fitrah yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Yang paling penting ialah jangan pendam dengan terlalu lama dan jangan larut dalam tangisan tersebut juga terlalu lama. Kedua-duanya perlu diseimbangkan.
#4 – Anggap Masalah Itu Sebagai Pemangkin Kekuatan
Allah tidak menghadirkan masalah secara suka-suka kepada hambaNya yang dikehendaki tetapi ia adalah ujian yang diturunkan untuk mengajar kita erti kekuatan dan bagaimana cara untuk menyelesaikannya.
Apabila kita percaya dan menetapkan hati terhadap perkara tersebut, nescaya hati kita akan lebih yakin untuk mengharungi masalah tersebut.
Kesimpulan
Ujian itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajar kita melalui liku-liku kehidupan dengan penuh tabah dan dekat kepadaNya.
Tidak salah untuk mencari manusia tatkala sedang dialami kekecewaan yang melampau, namun yang paling penting ialah sentiasa meletakkan pergantungan dan keutamaan kepada Allah SWT.
No comments: