Ads Top

Tidak Salah Berdoa Buat Kenalan Anda Yang Bukan Islam

Kata bijak pandai, mendapat teman rapat yang jujur, setia dan akrab adalah salah satu kenikmatan dunia.

Dengan mereka hidup kita jadi lebih indah. Saat sedih, mereka ada menghibur dan saat susah mereka bersedia pula menolong. Keakraban ini tidak mengira agama dan budaya. Ada sahaja teman rapat kita adalah daripada orang bukan Islam yang ada kalanya bakti mereka lebih besar daripada ahli keluarga sendiri.

Dan balasan yang baik yang boleh kita berikan adalah bakti dan pertolongan yang sama saat mereka memerlukan.

Islam juga tidak melarang kita berdoa agar Allah memberikan hal yang baik-baik buat rakan yang bukan Islam seperti memanjangkan umur, memperbanyakkan harta, kesihatan, anak dan keselamatan. Demikian yang disebutkan oleh Imam Al-Munawi.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah 60:8)

Walau bagaimanapun, doa seperti rahmat dan berkah daripada Allah pula tidak dibenarkan kerana ia terkhusus bagi orang beriman. Namun, seseorang itu masih boleh berdoa supaya mereka diberikan petunjuk daripada Allah agar ditunjukkan jalan yang terbaik dalam kehidupan.

Seperti doa yang pernah Rasulullah SAW panjatkan kepada kaumnya ketika baginda pulang dari Taif iaitu:


اللهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, no.1375)

Doa yang baik adalah untuk semua orang. Meskipun rakan rapat kita adalah bukan Islam, namun Allah Maha Adil untuk memberi ganjaran dan balasan setimpal atas kebaikan yang dilakukan. Justeru, usah lupa berdoa buat mereka dalam sela doa yang dipanjatkan setiap hari.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.