Situasi Solat Tanpa Sejadah Ketika Covid-19
Sejadah merupakan salah satu benda yang sentiasa perlu ada untuk menunaikan solat. Kalau kita berada di pusat membeli-belah atau di mana-mana surau, pasti akan disediakan sejadah untuk kegunaan awam.
Namun, dalam episod COVID-19 yang sedang dilalui, penggunaan sejadah secara berkongsi adalah tidak digalakkan. Malah, ada beberapa pusat membeli belah yang tidak menyediakan sejadah bagi mengelakkan rantaian virus ini daripada terus merebak.
Disebabkan itu, ramai dalam kalangan kita yang telah bersedia dengan sejadah masing-masing setiap kali keluar mahupun ke pejabat kerana bimbang jika tiada sejadah yang disediakan.
Sebagaimana yang kita tahu, hukum menggunakan sejadah adalah harus. Ia adalah untuk memberi keselesaan kepada kita terutamanya ketika sujud.
Baginda SAW juga diriwayatkan pernah menunaikan solat di atas hamparan sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA;
Maksud: “Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa beliau masuk untuk menemui Nabi SAW dan beliau berkata: “Aku melihat Baginda SAW sedang mendirikan solat di atas hamparan yang dia sujud di atasnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no.519)
Boleh sahaja untuk menunaikan solat tanpa sejadah. Hukum solat tersebut adalah sah. Namun, perlu dipastikan agar keadaan tempat itu adalah bersih dan boleh memberikan keselesaan kepada anda.
Dalam masa yang sama, jika anda solat di tempat awam seperti surau pusat membeli-belah dan sebagainya, adalah lebih elok untuk menghamparkan sejadah. Ia adalah bagi memberi isyarat bahawa tempat itu adalah untuk anda bersolat dan untuk mengelakkan orang daripada lalu lalang di hadapan anda.
Kadang-kadang, orang tak sedar yang anda sedang menunaikan solat. Jadi, ada kemungkin yang mereka lalu-lalang di tempat anda begitu sahaja. Begitu juga dengan kanak-kanak.
Ia adalah untuk mendidik mereka agar tidak bermain atau bergurau secara sembarangan di hadapan orang yang solat.
Justeru, untuk memudahkan urusan anda menghadap Allah dan juga urusan orang lain, persiapkanlah sejadah setiap kali hendak menunaikan solat.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: