Adakah Kita Hanya Mencari Al-Quran Apabila Terjadi Sesuatu?
Salah satu contoh yang akan saya bawakan ini mungkin sudah lama dan lapok, namun ia adalah salah satu contoh yang dirasakan relevan. Bahkan, perkara-perkara seperti inilah yang sering terjadi bukan sahaja dalam kalangan kita masyarakat Melayu, namun dalam kebanyakan orang.
Terdahulu, tular mengenai teori jumlah pesakit COVID yang dikaitkan dengan nombor surah tertentu di dalam Al-Quran berserta ayatnya.
Katanya sebanyak 3333 orang pesakit COVID-19 dengan jumlah kematian sebanyak 3 orang telah tercatat pada 3 April. Ia kemudian dikaitkan dengan sebuah surah di dalam Al-Quran.
Ada lagi teori yang pernah ditularkan di laman-laman sosial, contohnya ketika peristiwa Tsunami pada tahun 2004 dan juga peristiwa gempa bumi yang berlaku di Indonesia serta banyak lagi.
Apabila ditularkan, ada dalam kalangan kita yang percaya akan perkara tersebut kerana ayat atau surahnya itu adalah sama atau hampir sama dengan situasi yang dibawakan.
Bahkan, perkara inilah yang kadang-kadang menjadi perbahasan sesetengah orang dan juga dijadikan hujah dalam berdakwah.
Namun, adakah pendapat-pendapat seperti ini boleh dipercayai? Hal ini kerana ia adalah disebabkan oleh tafsiran yang dilakukan itu bukanlah pada ahlinya.
Hukum Mentafsir Tanpa Ilmu
Tafsir tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa ilmu, tidak kiralah ia adalah untuk mentafsir Al-Quran mahupun hadis.
Bahkan, jika kita belajar di sekolah pun, kita dituntut untuk berguru agar tidak timbul salah faham dan ilmu yang diamalkan itu tidak sesat. Apatah lagi jika ia melibatkan ilmu agama.
Inilah pentingnya guru. Mereka ialah orang yang arif akan sesuatu bidang dan tugasnya adalah untuk menyampaikan pengetahuan yang benar serta tidak menyesatkan.
Imam Nawawi menyebut – “Dan diharamkan bagi seseorang itu mentafsirkan Al-Quran tanpa mempunyai ilmu dan bercakap berkenaan maknanya bagi sesiapa yang bukan ahlinya.” (Al-Tibyan fi Adab Hamilah Al-Quran, 1/165)
Ulama berpendapat bahawa tidak dibolehkan mentafsir Al-Quran mengikut pendapat sendiri dan tanpa ilmu. Ia adalah perkara yang salah sebagaimana kata-kata yang dituturkan oleh Imam Ahmad:
Maksud: “Hati-hatilah kamu dari berkata-kata dalam suatu permasalahan yang kamu tiada iman padanya.”
Justeru, dapat difahami di sini bahawa hukum mentafsirkan Al-Quran mengikut pendapat sendiri itu adalah tidak dibenarkan terutamanya jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan akan sesuatu bidang.
Adakah Al-Quran Dibelek Hanya Apabila Terjadi Sesuatu
Apabila berlakunya sesuatu kejadian yang boleh dikatakan akan mendatangkan keinsafan kepada kita, adakah pada waktu itu sahaja kita akan membelek Al-Quran?
Apabila terjadinya pengeboman di sesuatu tempat atau apabila berlakunya banjir besar atau mungkin juga apabila terjadinya gempa bumi, barulah kita akan membuka Al-Quran dan menginsafi diri.
Mengapa begitu? Sedangkan Al-Quran sepatutnya dibuka setiap hari. Bukan sekadar dibuka, namun perlu dibaca dan difahami oleh hati dan jiwa kita setiap hari.
Biarlah jika ia dibaca secara sedikit pun dan bukannya menghabiskan satu surah setiap hari, asalkan itu adalah berdasarkan keikhlasan dan kemampuan kita.
Jika boleh dibaca secara banyak terus, itu juga adalah yang baik untuk dilakukan. Namun, perlu diingat bahawa Allah tidak menilai amalan melalui kuantiti tetapi Allah melihatnya berdasarkan kualiti.
Memang, setiap kejadian yang berlaku hari ini adalah untuk memberi peringatan kepada kita agar lebih dekat dengan Allah dan lebih menginsafi kehidupan ini.
Kita lihat, sejak akhir-akhir ini banyak terjadinya kejadian yang tidak diingini. Sebagai contoh, pengeboman di Beirut dan angka COVID-19 yang semakin meningkat; semuanya adalah untuk menginsafkan kita bahawa dunia ini adalah di bawah kekuasaanNya.
Namun, jika tidak terjadi perkara-perkara sedemikian, adakah kita akan terus leka dan lupakan Allah? Adakah kita akan terus meninggalkan Al-Quran sebagaimana hari-hari lain yang dilalui tanpanya?
Padahal, setiap ujian yang dilalui hari-hari sama ada dalam bentuk kesakitan, kesempitan wang, keseronokan dan pelbagai lagi, ia semua adalah untuk mendekatkan diri kita dengaNya.
Kesimpulan
Jadi, dua perkara yang dapat disimpulkan di sini, iaitu jangan mentafsirkan Al-Quran mengikut pendapat kita sendiri.
Jika tidak tahu, cuba untuk bertanya kepada yang lebih arif. Itulah adab berguru yang perlu kita amalkan. Setiap manusia itu mempunyai kepakaran dalam setiap sesuatu.
Yang kedua ialah, jangan meninggalkan Al-Quran apabila senang tetapi mencarinya apabila susah.
Ia seharusnya dibaca sentiasa, disemat di dalam hati agar dapat mengingatkan kita kepada Allah dan tidak menjadikan hidup kita leka.
Sekarang, tanya pada diri anda – adakah Al-Quran itu tempatnya hanya di atas rak sahaja?
Rujukan:
Mufti Wilayah – Hukum Tafsir Al-Quran Mengikut Pendapat Sendiri
Mufti Wilayah – Hukum Mengaitkan Ayat Al-Quran Dengan Sesuatu
No comments: