Ads Top

Kita Lebih Cepat Belajar Apabila Mengaku Salah

“The earlier you admit to your mistakes, the more time you would have to learn and grow from them.”

Lebih awal anda mengaku silap, lebih banyak masa anda ada untuk belajar dan berkembang daripadanya.

Namun mengaku salah kadang kala terasa sukar dan kita lebih memilih berada dalam keadaan denial, bahkan tanpa sedar.

Kita mengelak daripada mengaku kita sedang berhadapan dengan masalah, kita tidak mengaku diri sendiri mungkin salah malah kita mengelak daripada menguruskannya lalu menyalahkan orang lain. Atau di bibir mungkin kita mengaku salah namun di hati tidak.

Mengapa Tidak Rasa Diri Salah?

Hal ini kerana daripada satu sudut lain, kita percaya bahawa kita baik, seorang yang tidak akan cari pasal dengan orang, kita seorang yang tersusun, bijak dan lain-lain, jadi tidak mungkin masih ada kesilapan yang dilakukan. Ia bias yang kita ada terhadap diri sendiri. Dalam istilah Psikologi ia dipanggil ‘cognitive dissonance’.

Kesannya kita akan meletakkan penghalang atau tembok di hadapan kita. Setiap kritikan dan komen yang diberikan kita anggap sebagai suatu ‘tembakan’ dan serangan yang sengaja dilepaskan kepada diri kita.

Tanpa sedar, tembok itu menutup mata dan telinga daripada melihat dan menyedari kesilapan diri sendiri. Apabila tidak mengaku silap, kita tidak membuka hati kepada kritikan yang konstruktif yang boleh membantu kita belajar dan memperbaiki diri.

Hasilnya, kita kekal berpaut pada cara yang lama dalam menguruskan sesuatu, sedangkan ada cara baru yang lebih baik. Tanpa sedar, kita membuatkan orang sekeliling lebih geram dan marah.

Selain itu, kita juga sukar mengaku salah kerana tidak suka perasaan yang akan timbul daripadanya – rasa tidak selesa, rasa takut atau rasa malu.

Mengaku Salah Menunjukkan Diri Seorang Yang Bertanggungjawab

Mengaku salah tidak akan menunjukkan anda seorang yang lemah tetapi kuat sebenarnya. Ia menunjukkan anda seorang yang bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan dan cepat belajar.

Apabila mengaku salah, anda sebenarnya menguatkan lagi kepercayaan dengan orang di sekeliling kerana anda dilihat sebagai seorang yang tidak mengelak dari kesalahan yang dilakukan, tidak ego dan boleh berubah.

Kesilapan juga membantu kita untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Apa Yang Manusia Inginkan Adalah Perubahan

Bayangkan jika ada seseorang yang melakukan kesalahan kepada anda, apa yang anda inginkan daripadanya selain daripada kata maaf?

Ia adalah usaha untuk berubah.

Orang yang mengaku kesalahan adalah orang yang berani, tetapi jika kesalahan yang sama tetap dilakukan lagi dan lagi, ia menunjukkan bahawa anda tidak belajar daripadanya. Akhirnya ia menimbulkan rasa tidak percaya.

Sedangkan jika seseorang melakukan kesalahan yang sama terhadap diri anda sekalipun, anda tidak lagi mahu mendengar kata maaf semata-mata, sudah pasti yang anda ingin lihat perubahan. Justeru, apabila sudah mengaku silap, maka mulalah mengatur strategi untuk memperbaiki kesilapan tersebut dan berubah.

Kesimpulan

Kesilapan merupakan suatu yang normal kerana kita adalah manusia. Ia dapat membantu kita mengenal pasti apa kelemahan dan kelebihan yang ada. Mungkin apabila kita sudah berani mengakui hakikat ini, akhirnya kita akan mula nampak kesilapan tidak semestinya menggambarkan kegagalan, tetapi satu ruang untuk sentiasa belajar.




No comments:

Powered by Blogger.