Ads Top

Sabar Itu Ada Tiga Jenis

Sabar. Ia merupakan sebuah perkataan yang mudah dieja, mudah disebut tetapi tak semua orang boleh bersabar. Untuk aplikasikan sabar dalam diri itu memerlukan pengorbanan yang mungkin agak berlawanan dengan sifat sebenar seseorang.

Ada orang yang mempunyai sifat amarah yang sangat tinggi. Jadi, apabila ingin bersabar, sudah tentunya ia merupakan perkara yang sukar untuk dilakukan, namun tak mustahil. Semua orang boleh bersabar dengan hanya memerlukan latihan yang sedikit ke dalam diri mereka.

Sabar itu ada tiga jenis, iaitu sabar dalam ketaatan, sabar dalam menghadapi maksiat dan sabar dalam mengharungi takdir yang pahit.

#1 – Sabar Dalam Ketaatan

Sabar dalam ketaatan bermaksud seseorang itu sabar dalam beribadat kepada Allah. Bukan mudah untuk taat kepada Allah, namun apabila seseorang itu bersabar, tak mustahil jika ia boleh menjadi sesuatu yang sebati dalam diri.

#2 – Sabar Dalam Meninggalkan Maksiat

Sabar yang kedua ialah bersabar dengan menahan diri daripada melakukan maksiat dan dosa. Ia adalah salah satu perkara yang perlu diambil perhatian. Tak semua orang boleh menahan diri daripada melakukan maksiat.

Contohnya, anda sering bercakap kasar dengan ibu anda. Apa kata mulakan dengan menahan diri daripada bercakap dengan intonasi yang tinggi dengan mereka. Kemudian, boleh dicuba untuk bercakap secara lemah-lembut dengan mereka bagi membantu hubungan anda dengan ibu sendiri.

Nampak kan di sini bahawa perubahan itu perlu dilakukan perlahan-lahan dan bukannya secara mendadak. Yang paling penting ialah ia perlu dimulai dengan kesabaran yang jitu.

#3 – Sabar Dalam Menerima Takdir

Apabila menerima ujian atau perkara yang buruk dalam hidup, ada orang yang akan dirudung kemurungan dan kesedihan kerana tidak dapat menerima perkara tersebut dengan hati yang lapang.

Walau bagaimanapun, salah satu cara untuk tidak larut dalam kekecewaan adalah dengan bersabar dan menerima ujian tersebut dengan hati yang terbuka.

Kesimpulan

Kadang-kadang, apabila kita melihat ada orang yang dilanda kesusahan, pastinya kita akan mengungkapkan perkataan sabar agar mereka boleh menghadapinya dengan hati yang tenang.

Memang, ia sangat mudah diucapkan oleh orang yang tidak mengalaminya, namun jangan berfikir bahawa anda tidak boleh menghadapinya dengan hati yang sabar kerana diri Allah tahu bahawa anda seorang yang mampu. Sebab itu setiap sesuatu itu tertimpa kepada diri anda.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.