Ads Top

Perlukah Khatam Al-Quran?

Setiap orang yang membaca Al-Quran, pasti terdetik di hatinya untuk mencuba khatamkan Al-Quran. Ia akan menjadi sebuah nikmat yang besar apabila seseorang itu berjaya mengabiskan bacaan keseluruhan Al-Quran.

Yang paling baik adalah apabila khatam itu berjaya dilakukan dengan mentadabbur sekali isi kandungannya.

Tadabbur itu ialah pemahaman yang kita letakkan melalui apa yang dibaca. Ada orang yang sekadar membacanya sahaja tanpa menghayatinya. Ada juga orang yang akan cuba fahaminya walau sekadar membaca tafsir. Dan yang paling baik adalah dengan berguru atau memasuki kelas bagi membetulkan bacaan, menghayati serta memahaminya.

Itu semua adalah bergantung kepada usaha masing-masing bagi mempelajari Al-Quran. Namun, apabila sudah khatam, jangan pula terus ditinggal perkara tersebut.

Ulang lagi bacaan itu dari awal sehingga lancar. Ia adalah untuk memastikan agar kita tidak meninggalkan Al-Quran apatah lagi jauh dengannya.

Tetapi, mungkin ada yang tertanya; perlukah khatam Al-Quran ini? Kalau kita lihat, khatam merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud menghabiskan bacaan 30 Juzuk sama ada yang dibaca atau yang dihafaz.

Menurut Imam Nawawi, khatam itu bergantung kepada individu. Ada orang yang harinya sibuk dengan perkara-perkara yang menyeru orang kepada kebaikan (dakwah). Ada juga yang sibuk dengan urusan agama lai dan sebagainya.

Jadi, sehari hanya mampu dibaca satu muka surat Al-Quran sahaja. Jadi, tidak salah untuk tidak berjaya khatam. Tetapi dia perlu memperbanyakkan membaca Al-Quran atau dalam erti kata lain, tidak meninggalkannya.

Namun, jika hari-harinya itu tiada kekangan yang menghalang daripada membaca Al-Quran, maka perlu dicuba untuk menghabiskannya.

Sama ada cepat atau lambat, seseorang itu perlu meletakkan usaha. Membacanya diganjari pahala, apatah lagi jika berjaya dibaca sehingga habis.

Tapi yang paling penting ialah jangan dibaca secara tergesa-gesa sehingga dilanggar semua hukum tajwid. Bimbang nanti jika makna tersebut tidak sama dengan maksud sebenar Al-Quran.

Kesimpulan

Walaupun kita sangat sibuk setiap hari sehingga tidak ada banyak masa untuk mengkhatamkan Al-Quran, namun jangan sekali-kali meninggalkannya.

Sekurang-kurangnya, peruntukkan masa sedikit setiap hari untuk membaca Al-Quran bagi mengelakkan diri kita daripada terus meninggalkannya.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.