Ads Top

Penat Menguruskan Rumah Tangga – Amalkan Zikir Fatimah Ini

Proses pernikahan itu hanya memakan masa sehari, namun melayari alam rumah tangga itu adalah untuk selamanya selagi jodoh berkekalan.

Sebelum kahwin, masing-masing boleh bertoleransi dan sama-sama mengumpul wang untuk merealisasikan impian yang dibina, namun apabila melayari rumah tangga, banyak ragam yang dapat kita lihat.

Apabila dibaca perkongsian yang dinukilkan di media sosial atau yang diceritakan oleh suami mahupun isteri, pasti kebanyakannya menyebut mengenai asam garam yang sukar dilalui.

Kadang-kadang, disebabkan perkara kecil sahaja; ada suami yang tidak membantu isteri melakukan kerja rumah, isteri yang suka berleter dan sebagainya membuatkan rumah tangga sedikit goyah.

Namun, ia boleh diselesaikan jika kedua-duanya mempunyai tolak ansur dan komunikasi yang betul.

Kalau dilihat mengenai isu melakukan kerja rumah, konsep yang perlu diamalkan adalah ia merupakan tugas kedua-dua pihak. Bukannya konsep suami perlu membantu isteri semata-mata.

Rumah itu didiami bukan oleh isteri sahaja, namun semua yang di dalamnya. Jika di dalam rumah itu ada suami dan isteri, maka kedua-duanya memainkan peranan. Kalau rumah itu mempunyai anak, maka anak-anak juga perlu dilatih mengenai perkara itu, bukan melihat kepada jantina anak sahaja.

Lelaki dan perempuan, semuanya ada peranan sendiri. Belajar bertoleransi agar harmoni itu boleh wujud.

Zikir Fatimah Yang Boleh Diamalkan

Penat itu adalah perkara biasa yang akan dilalui oleh semua orang. Kalau isteri anda suri rumah, jangan beranggapan bahawa duduk di rumah itu tidak penat dengan membandingkan kerja-kerja pejabat anda yang banyak.

Masing-masing ada perihal yang perlu dilalui. Disebabkan itu, perlu untuk kedua-duanya saling memahami agar kepenatan itu tidak ditambah pada hati.

Bila hati terlalu mempertikaikan tugas suami atau tidak puas hati dengan leteran isteri, itulah yang akan menjadikan emosi kedua-dua pihak tidak stabil.

Tetapi, apabila kedua-duanya memainkan peranan, itulah salah satu perkara yang boleh merawat kepenatan.

Antara perkara lain yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan zikir Fatimah yang telah dinukilkan melalui hadis Baginda SAW;

Maksud: “Tidakkah kalian berdua mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang hamba? Maka, apabila kalian berdua mendatangi katil atau dalam keadaan kalian berdua berbaring untuk tidur, bertakbirlah sebanyak 33 kali, bertasbihlah sebanyak 33 kali dan bertahmidlah sebanyak 33 kali. Hal ini adalah lebih baik untuk kalian berdua berbanding seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5843)

Hadis ini telah berlaku ketika Saidatina Fatimah telah mengadu penat kepada Baginda SAW dengan tugasnya di rumah sehinggakan tangannya melecet. Beliau juga telah meminta seorang hamba bagi membantunya melakukan kerja rumah.

Justeru, Baginda telah mengajarkan perkara yang lebih baik untuk membantu merawat kepenatan tersebut, iaitu dengan mengucapkan tasbih, takbir dan tahmid sebanyak 33 kali sebelum tidur.

Kesimpulan

Tidak salah jika berkemampuan untuk menggajikan orang bagi membantu tugas-tugas rumah. Itu adalah berdasarkan kemampuan masing-masing.

Namun,amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini boleh diamalkan oleh semua orang. Sama ada anda penat dengan kerja rumah mahupun dengan perkara-perkara lain, boleh sahaja dibaca.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.