Ads Top

Musafir Setelah Masuk Waktu Solat – Adakah Boleh Jamak Qasar

Solat secara jamak dan qasar adalah rukhsah atau keringanan yang diberikan kepada umat Islam untuk menunaikan solat ketika musafir. Ia memudahkan, menjimatkan masa dan tidak perlu berhenti kerap untuk menunaikan solat di pertengahan jalan.

Namun masih banyak persoalan-persoalan yang boleh menambah kefahaman kita terhadap isu solat jamak dan qasar. Contohnya, adakah kita dibolehkan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar walaupun memulakan perjalanan setelah masuk waktu solat.

Contoh situasinya begini. Waktu solat Zohor telah masuk pada jam 1.35 tengah hari, lalu A terus memulakan perjalanan tanpa terlebih dahulu menunaikan solat. Di pertengahan jalan, barulah dia menunaikan solat secara jamak qasar tidak kira taqdim atau ta’khir.

Syeikh Hasan Al-Kaf menyebutkan bahawa seseorang itu boleh untuk tidak melaksanakannya solat yang telah masuk waktu itu secara tunai, tetapi melakukan secara jamak dan qasar setelah dia keluar bermusafir.

“Apabila seseorang itu mendapati waktu solat pertama telah masuk tetapi dia tidak menunaikannya, kemudian dia bermusafir pada waktu pertama itu, maka dibenarkan baginya untuk jamak ta’khir dengan syarat dia berniat jamak selepas dia keluar berpisah daripada umran (bandar/kampung/kawasan permukiman), dan tidak wajib ke atasnya untuk menunaikan solat pertama pada waktunya.”

Namun ada juga ulama yang tidak membenarkan perkara tersebut contohnya Abu al-Abbas ibn Suraij serta Al-Muzani. Mereka berhujah bahawa, bagi seorang wanita yang telah maklum bahawa telah masuk waktu solat semasa hadar (tidak bermusafir), dan dia boleh menunaikannya, tetapi tiba-tiba dia didatangi haid, solat itu hendaklah digantikan.

Dalam erti kata lain, ia difahami sebagai saranan menyegerakan solat dan tidak boleh dilambat-lambatkan.

Walau bagaimanapun, pendapat yang muktamad daripada Mazhab Syafie membolehkan seseorang mengguna pakai rukhsah solat jamak dan qasar. Tetapi dia perlu memastikan bahawa syarat asas jamak dan qasar dipenuhi iaitu dia telah keluar daripada kawasan tempat tinggalnya serta tempoh perjalanan yang ingin ditempuh adalah 2 marhalah.

Justeru, dia boleh sahaja memilih untuk tidak menunaikan solat tersebut secara tunai sebelum mula bermusafir lalu melakukan solat jamak qasar secara takdim atau ta’khir semasa dalam perjalanan. Namun begitu, mengambil langkah keluar daripada khilaf adalah lebih baik lebih-lebih lagi jika tiada keperluan. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.