Ads Top

Mendapat Rezeki Seperti Orang Soleh

“Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Demikianlah ungkapan seorang hamba, permohonan seorang hamba dalam doanya selepas mengerjakan solat sunat Dhuha. Berharap semoga Allah SWT kurniakan kepadanya rezeki, sebagaimana Allah telah limpahkan rezeki kepada hamba-hambaNya yang soleh.

MasyaAllah.
SubhanaAllah.
Semoga apa yang diharapkan, dimakbulkan oleh Raja di Langit dan di Bumi, Allah SWT.

Jadi, siapakah hamba Allah yang soleh? Bagaimanakah ciri-ciri keperibadian orang soleh ni? Adakah orang soleh itu seorang yang bertindak seperti saya bertindak? Bagaimana cara dia bercakap? Adakah orang seperti kita tergolong dalam golongan orang yang soleh?

Hanya Allah yang tahu, dan kita sebagai makhlukNya, sebagai khalifah di muka bumi ini, usah berputus asa.

Ingatlah, kita jaga hak Allah, Allah akan menjaga kita. Demikianlah seperti yang tercatat dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, soleh bermaksud taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. Jadi, apakah ciri-ciri orang soleh itu? Antaranya adalah:

#1- Sentiasa Audit Diri Dan Perbaiki Agama Dengan Melakukan Amal Soleh

Untuk memperbaiki agama dalam diri, caranya adalah dengan menuntut ilmu. Ini kerana dengan menuntut ilmu, minda seseorang akan terbuka, fikiran menjadi cerdas dan hati lebih mudah faham akan tatacara keperluan hidup menurut Islam.

Allah berfirman dalam al-Quran, surah Fathir ayat 28, bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Secara ringkasnya, ulama adalah orang berilmu yang mempunyai kefahaman dalam beragama Islam.

#2- Kebergantungan Hanya Kepada Allah SWT

Jika memerlukan pertolongan, seseorang itu hanya meminta pertolongan kepada Allah. Ini berlaku apabila seseorang hamba itu benar-benar memahami bahawa tiada yang berkuasa di langit dan di bumi, hanya Allah semata-mata.

Sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Isra’, ayat 2 yang bermaksud: “Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): “Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya).”

#3- Bersabar, Bercakap Benar, Taat Kepada Allah SWT Dan Menginfaqkan Hartanya Ke Jalan Allah SWT

Dunia ini tempat cubaan, tempat kita diuji, tempat kita diduga dan macam-macam yang perlu ditempuhi dan dilalui. Dalam hal ini, apabila kita kecewa, kita bersabar, apabila kita marah, kita bersabar, apabila kita gembira kita bersabar. Ada cara dan teknik untuk mengurus setiap sesuatu emosi, bukan semberono saja dengan mengikut kata hati.

Bercakap yang benar, bukan memfitnah, mengadu domba apatah lagi membesar-besarkan cerita agar dipandang tinggi di mata masyarakat. Taat menjunjung perintah Allah, di mana dunia dikelek dan akhirat dijunjung. Bersedekah sama ada secara terang-terangan, ataupun dengan cara bersembunyi, sesungguhnya dalam kedua-dua pilihan itu, ada kebaikannya yang tersendiri.

#4- Tidak Berputus Asa Berdoa Kepada Allah

Hamba yang soleh merupakan individu yang tidak berputus asa berdoa kepada Allah SWT dan dia berdoa dengan suara yang lemah lembut. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui segala rahsia hati, jadi tidak perlulah menggunakan suara yang keras untuk berdoa.

Memintalah kepada Raja yang Maha Kaya dengan bersungguh-sungguh dari hati yang tulus, menundukkan wajah dan yakinlah Allah tidak pernah menghampakan permintaan hambaNya.

#5- Berwaspada Dengan Pujuk Rayu Syaitan

Sentiasa berwaspada terhadap bisikan pujuk rayu syaitan. Inilah pentingnya ilmu yang menjadi penunjuk jalan di kala kegelapan.

Gelap di sini bukan bermaksud tiada elektrik di rumah kerana dipotong tetapi hati yang gelap sehingga mudah sangat terpengaruh dengan keindahan dunia.

Orang yang soleh menjaga hatinya, menjaga imannya, menjaga dirinya agar tidak disesatkan oleh syaitan.

Renungilah ayat 39 dan 40 dalam surah al-Hijr.

Maksudnya: “Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik.”

Akhir sekali, Allah telah menyediakan ganjaran yang sangat besar buat orang yang soleh iaitu syurga tertinggi iaitu Syurga Firdaus.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sungguh orang yang beriman dan beramal soleh untuk mereka disediakan Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal” (Surah Al-Kahfi 18:107)

“Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut 29:69)

Akhir sekali, lengkapkanlah usaha baik kita dalam beramal soleh iaitu melakukan solat sunat dhuha dengan doa di bawah.

“Ya Allah
Sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu
Kecantikannya KecantikanMu
Keindahannya KeindahanMu
Kekuatannya KekuatanMu
Kekuasaannya KekuasaanMu
Perlindungannya PerlindunganMu

Ya Allah
Jika rezekiku masih di langit, turunkanlah
Jika rezekiku di dalam bumi, keluarkanlah
Jika sukar, permudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah

Dengan berkat waktu Dhuha
KecantikanMu, KeindahanMu
KekuatanMu, KekuasaanMu

Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hambaMu yang soleh”

Rujukan:
Akuislam.com
Islamituindah.my
Peribadirasulullah.wordpress.com




No comments:

Powered by Blogger.