Ads Top

Fanzi Ruji Dipuji Judika, Tampil Single Pengenalan Hati Nan Rapuh

Pernah mendapat pujian daripada penyanyi terkenal Indonesia, Judika, kini langkah Fanzi Ruji makin panjang apabila dia baharu sahaja tampil dengan single pengenalannya, Hati Nan Rapuh.

Teruja berkongsi cerita mengenai pengalamannya mendapat perhatian daripada Judika, Fanzi atau nama sebenarnya, Mohd Rifanzie Ruji berkata, “Judika memberi respon nyanyian saya dua kali. Pertama, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya membuat nyanyian semula lagu Tersenyumlah Sobat.”

“Ketika itu, dia buka sesi duet bersama peminat di IG. Mana-mana yang dia suka, dia akan muat naik semula dan saya antara yang terpilih.”

“Kedua, menerusi lagu Bukan Rayuan Gombal. Dia pilih mana-mana lagu yang dimuat naik menerusi #JudikaVocalTips. Jadi, dia memilih video nyanyian saya dan memberi tips dan komen yang dibuat secara sesi virtual.

“Pada sesi itu, dia memberikan komen dengan mengatakan suara saya bagus, ada warna dan kawalan mantap. Malah, dia cakap rugi kalau label tak ambil saya menjadi penyanyi. Rasa teruja juga apabila dia ‘follow’ saya di IG.

“Diakui dia memang idola saya dan saya memasang impian untuk berduet dengannya suatu hari nanti. Kalau tak dapat berduet lagu sendiri, menyanyi sepentas pun okay,” katanya.

Fanzi yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music tampil dengan single pengenalannya yang berjudul Hati Nan Rapuh.

“Tawaran datang selepas mereka melihat video nyanyian cover version saya di YouTube. Dalam masa sama, saya juga ada melancarkan lagu sendiri iaitu Hati Nan Rapuh termasuk di semua platform muzik digital.

“Dari situ, pihak Nova Music menghubungi saya. Tapi, saya ambil masa dua minggu sebelum membuat keputusan. Saya anggap ini rezeki dan peluang yang tak boleh dilepaskan,” katanya.

Berkongsi lanjut, lagu Hati Nan Rapuh adalah hasil ciptaan Fanzi sendiri dan lirik oleh Ed Widad dan Cik BJ.

“Lagu ini hasil ciptaan saya sendiri dan lirik oleh dua rakan yang juga orang Sabah. Difahamkan lirik ini bercerita mengenai seorang ibu yang rindukan anak sebab berpisah jauh akibat perceraian,” ujarnya lagi yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.

Single Hati Nan Rapuh kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, Joox, KK Box dan Deezer. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.