Dapat Pahala Qiamullail Walau Tak Buat?
Peluang bangun malam (qiamullail) untuk menunaikan solat adalah peluang yang sangat besar yang diperoleh oleh seseorang. Beruntungnya bagi mereka yang dapat memulakan hari dengan ‘menghadap’ dahulu Tuhan Yang Maha Mencipta sebelum berhadapan dengan makhluk ciptaanNya serta segala urusan yang diaturNya dalam hidup kita.
Itulah juga amalan yang menjadi kebiasaan baginda Rasulullah SAW – bangun malam untuk bermunajat kepada Allah.
Namun adakalanya walaupun pelbagai persediaan telah dilakukan untuk bangun malam, contohnya telah mengambil wuduk sebelum tidur, berniat untuk bangun menunaikan solat tahajjud, membaca doa-doa yang disarankan, mengunci jam dan tidur awal, namun sukar juga untuk bangun tahajjud. Sedar-sedar sahaja, azan Subuh telah berkumandang.
Ketahuilah bahawa semua persediaan itu tidak dikira sia-sia, bahkan sebenarnya jika seseorang itu telah benar-benar berniat untuk bangun solat malam, maka dia tetap mendapat pahala yang sempurna seolah-olah dia telah bertahajud.
Abu Darda’ meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda:
من أَتَى فِراشَه وهو يَنْوِي أن يقومَ يُصَلِّي من الليلِ فَغَلَبَتْه عينُه حتى يصبحَ كُتِبَ له ما نَوَى ، وكان نومُه صدقةً عليه من ربِّه
“Barangsiapa yang naik ke atas tempat tidurnya sedang ia telah berniat untuk bangun melakukan solat di malam hari, namun ia tertidur hingga waktu Subuh, maka ditulis baginya pahala apa yang ia niatkan dan tidurnya itu adalah sedekah dari Rabbnya.” (Sahih An-Nasa-i, no. 1786 – hadis dinilai sahih oleh Al-Albani)
Begitulah pemurahnya Allah dalam menilai usaha seorang hamba yang ingin benar-benar mendekatkan diri kepadaNya. Sebaiknya jangan sekadar diniat ala kadar sahaja, tetapi buatlah persediaan yang rapi untuk berqiamullail seperti tidur awal dan menetapkan penggera jam pada telefon.
Alhamdulillah jika dapat bangun menunaikan solat malam namun jangan berputus asa jika tidak terbangun kerana anda masih mendapat pahala sebagaimana yang diniatkan.
No comments: