Ads Top

Adakah Seseorang Akan Diseru Dengan Nama Ibunya Di Akhirat Kelak?

Apabila seseorang meninggal dunia, talqin akan dibacakan seusai jenazah disemadikan. Ia dilakukan bagi memperingati orang yang masih hidup serta mendoakan si mati, dan ketika itu nama si mati disebut dan di bin/binti kepada ibunya.

Apakah ada alasan di sebalik amalan ini? Sesetengah mengatakan bahawa di akhirat kelak, seseorang itu akan dipanggil di hari pembalasan berdasarkan namanya dan nama ibu, bukan lagi nama bapa. Adakah hal ini benar?

Sebenarnya, bagi panggilan si mati semasa talqin, ia ada disebut dalam satu hadis Nabi SAW. Abu Umamah pernah berpesan bahawa apabila beliau mati, hendaklah dilakukan sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW iaitu:


إذا مات أحدٌ من إخوانِكم فسوَّيتم التُّرابَ على قبرِه، فليقُمْ أحدُكم على رأسِ قبرِه، ثمَّ ليقُلْ: يا فلانُ بنُ فلانةَ

Maksudnya: “Apabila telah mati salah seorang daripada saudara kamu, maka ratakanlah tanah di atas kuburnya. Maka hendaklah salah seorang daripada kamu berdiri di sisi kepala kuburnya, kemudian ucaplah “wahai Fulan bin Fulanah”. (Riwayat al-Tabrani, no. 7979 – Imam Ibn Hajar Al-Aqalani mengatakan sanadnya baik dan mempunyai syawahid)

‘Fulanah’ bermaksud kata ganti nama bagi perempuan manakala ‘Fulan’ adalah ganti nama bagi lelaki. Hadis ini menerangkan bahawa panggilan si mati semasa talqin adalah kepada nama ibu atau jika tidak tahu siapa ibunya maka boleh disandarkan kepada nama Saidatina Hawa AS.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak menafikan bahawa seseorang itu akan diseru dengan nama bapanya di akhirat kelak. Hal ini kerana ia terdapat dalam dalil yang sahih bahawa seseorang itu masih akan di binkan kepada nama bapanya di akhirat kelak.

Diriwayatkan oleh Abu al-Darda’ RA, Sabda Nabi SAW:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Daud, no.4948)

Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُقَالُ هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya pengkhianat itu akan dipancang baginya bendera (sebagai balasan dihadapan orang ramai) pada hari kiamat. Lalu, diseru ke atasnya “Ini adalah pengkhianatan si fulan bin si fulan” (Riwayat al-Bukhari, no.6178)

Menurut Ibnu Battal dan Imam Qurtubi, hadis di atas menjadi dalil bahawa manusia akan dipanggil dengan namaya dan nama bapanya di akhirat kelak. Wallahua’lam.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan



No comments:

Powered by Blogger.