Status Hadis – Dosa Orang Yang Bergaduh Tidak Akan Diampuni Pada Hari Arafah?
Apabila tibanya hari Arafah, pasti ramai di antara kita yang mengambil peluang untuk berpuasa sunat Arafah dan memperbanyakkan doa kerana diceritakan dalam beberapa hadis sahih bahawa banyak kelebihannya pada hari Arafah.
Jika kita melihat dalam bulan Syawal, ada puasa enam yang diibaratkan seperti berpuasa selama setahun. Manakala, bulan Zulhijjah pula, ada puasa Arafah yang salah satu kelebihannya adalah dihapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksud: “Rasulullah ditanya mengenai puasa hari Arafah, lalu Baginda bersabda: “Menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1162)
Bahkan, banyak lagi hadis sahih yang menceritakan mengenai kelebihan hari Arafah terutamanya dari sudut pengampunan dosa. Begitu hebatnya ganjaran yang Allah sediakan buat hambaNya sebagai peluang untuk menambah pahala dan menebus kembali dosa-dosa.
Tetapi, ada sebuah hadis yang menyebutkan mengenai dosa manusia akan diampunkan melainkan buat mereka yang mempunyai dosa silaturahim, iaitu pergaduhan dengan orang sekeliling.
Maksud: “Diangkat segala amalan kepada Allah pada hari Arafah melainkan orang yang saling bergaduh.”
Namun, menurut jumhur ulama, ia adalah sebuah hadis yang palsu kerana tiada periwayatan yang sahih yang disebutkan mengenai perihal ini.
Jadi, tidak boleh menyebarkan hadis ini kerana ia adalah hadis palsu. Namun, jika mempunyai masalah perhubungan dengan manusia sekeliling, maka menjadi kewajipan insan itu untuk memperbetulkan keadaan itu agar tali silaturahim kembali harmoni.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Dr. Ustaz Rozaimi Ramle
No comments: