Pupuk Budaya Berfikir Melalui Membaca
Allah SWT mengurniakan kepada manusia keupayaan akal untuk berfikir sejak manusia berada di dalam kandungan ibu lagi. Menurut kajian, menjelang minggu ke-23 , bayi sudah boleh mendengar degupan jantung ibu dan bunyi yang berada di luar rahim ibu bagi membolehkannya mengecam suara ibu sendiri kelak apabila dilahirkan.
Ini bermakna manusia sudah boleh menggunakan akal fikiran seawal dalam kandungan lagi tanpa melalui pendidikan yang formal.
Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu ialah dengan duduk belajar atau menerusi pembacaan. Seseorang yang gemar membaca akan terbuka mindanya untuk meneroka pelbagai disiplin ilmu dan bidang serta menyumbang kepada perkembangan ilmu itu sendiri. Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah r.anhu, bersabda Rasulullah SAW : Sesiapa yang menempah satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Allah Taala juga berfirman melalui surah Al-Alaq (ayat 1-5):
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”
Umum mengetahui setiap individu Muslim seharusnya menjadikan acuan kehidupan Islam sebagai panduan menyelusuri hidup beragama, justeru mengamalkan kehidupan berpaksikan 5 prinsip Maqasid Syariah memerlukan kita sebagai umat Islam yang berilmu serta berpengetahuan sebagai langkah menjaga akal fikiran melalui amalan membaca.
Prinsip Kehidupan (Maqasid Syariah) Menjaga Akal
Selain memelihara keselamatan nyawa dan kelangsungan zuriat serta keturunan, Islam juga menuntut umatnya agar mengambil berat terhadap aspek memelihara kesejahteraan akal. Memelihara kesejahteraan akal bererti memberi perlindungan kepada akal manusia dari perkara-perkara yang akan merosakkan.
Akal wajib dipelihara serta dipupuk dengan nilai niai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Arak, dadah dan filem yang merosakkan mesti dibanteras dan dihalang bagi menggelakkan kerosakkan akhlak dan pemikiran manusia.
Selain itu, menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan infastruktur dan sistem pendidikan yang holistik serta terbaik bagi membolehkan setiap rakyat mendapat akses pendidikan sempurna.
Muslim yang berilmu pengetahuan akan lebih bersedia bagi mendepani cabaran-cabaran pada masa kini khususnya kemelut globalisasi, faktor ilmu bersepadu, kemajuan sains dan teknologi dalam usaha supaya menjadi generasi yang berdaya saing, berketrampilan dan memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang seimbang duniawi dan ukhrawi.
Menurut satu artikel yang ditulis oleh Baltic News Network (BNN) di Brazil, setiap banduan berpeluang untuk mengurangkan tempoh tahanan penjara sekiranya mereka boleh membaca satu buku serta menulis ulasan (report) mengenai pembacaan tersebut.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakan dari warga penjara dan kajian mendapati setelah program tersebut dijalankan kadar jenayah berulang di Brazil menurun sebanyak 30 %.
Kisah Kucing Ashram
Pada zaman dahulu diceritakan bahawa setiap kali seorang ‘guru’ di satu kuil hendak memulakan rutin ibadah (evening prayer), pasti kelihatan seekor kucing yang menganggu mereka. Sikap kucing tersebut yang suka menggeselkan badan di kaki menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan ahli-ahli ibadah tersebut.
Maka ‘guru’ mereka telah membuat keputusan agar kucing tersebut diikat ditiang kuil semasa waktu sembahyang bagi mengelakkan gangguan yang sama berulang lagi.
Setelah beberapa tahun berlalu ‘guru’ pun telah meninggal dunia dan tugas tersebut diambil alih oleh pengganti iaitu ‘guru’ yang baharu. Rutin ibadah setiap petang masih diteruskan mereka dan setiap kali sampai waktu, seekor kucing diikat ditiang kuil bagi meneruskan amalan tradisi oleh ‘guru’ yang lama sehinggakan kucing tersebut mati pun,mereka menggantikannya dengan kucing yang lain.
Mungkin kerana merasakan ibadah mereka tidak lengkap tanpa mengikat kucing ditiang lalu amalan tersebut diteruskan dari satu generasi ke generasi yang lain dan dijadikan sebagai kemestian setiap kali handak beribadah.
Kisah ini memberi gambaran bahawa sebarang amalan atau perbuatan yang tidak berpandukan ilmu pengetahuan akan menjadikan budaya berfikir akan hilang dan muncul pula budaya ikut ikutan (taqlid ) yang semakin berleluasa dalam masyarakat kini.
Justeru, carilah ilmu pengetahuan dan pelajarilah disiplin-disiplin ilmu agar perjalanan hidup kita terpandu.
Rujukan:
Jakim.gov.my
Liturgy.co.nz
Power Books Brazil Reduces Prison Time Exchange Reading
No comments: