Ads Top

Perlukah Takut Mati?

Perlukah kita takut akan kematian? Kalau takut mati, nanti dikira sebagai muslim yang tidak menerima hakikat bahawa setiap manusia suatu hari nanti akan meninggalkan dunia ini. Tapi, kalau kita tidak takut mati, itu juga boleh membahayakan pemikiran kita. Jadi, apa yang perlu kita buat?

Sebenarnya maksud takut mati yang sebenar ialah apabila kita percaya dan yakin adanya kematian dan kepercayaan itulah yang akan memandu kehidupan kita ke arah yang lebih baik mengikut aturan Islam.

Apabila kita sentiasa ingat kematian, ia merupakan salah satu perkara yang boleh menghalang kita daripada berbuat sesuatu yang dimurkai.

Kita yakin bahawa dunia ini sementara dan setiap perkara yang kita lakukan akan membawa kesan kepada hitungan akhirat.

Jika kita mencuri dan tidak bertaubat, maka itulah yang boleh mengurangkan bekalan baik kita di akhirat. Tetapi, katakan rancangan kita untuk mencuri terhalang kerana hati kita dijentik oleh berita kematian yang menjengah sekali gus mengingatkan kita kepada kematian, maka itulah yang menjadi asbab kepada perubahan hidup kita.

Inilah yang dimaksudkan mengingati kematian yang boleh membawa kesan kepada kehidupan kita. Terutamanya jika seseorang itu percaya kepada azab atau nikmat yang diperoleh sama ada di alam barzakh atau di akhirat kelak.

Ada sebuah hadis dari Aisyah RA bahawa Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Barangsiapa suka berjumpa dengan Allah, Allah juga mencintai penjumpaan dengannya. Sebaliknya barangsiapa membenci perjumpaan dengan Allah, Allah juga membenci perjumpaan dengannya.” Lalu, Aisyah berkata: “Apa yang dimaksudkan dengan benci akan kematian wahai Nabi Allah? Tentu kami semua takut akan kematian.” Nabi SAW bersabda: “Bukan itu maksudnya. Yang sebenarya ialah seorang mukmin apabila diberi khabar gembira mengenai rahmat, keredaan serta syurgaNya. Sedangkan orang kafir, jika diberi khabar dengan seksa dan murka Allah, ia pun khuatir berjumpa dengan Allah, lantas Allah pun tidak suka berjumpa denganNya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2685)

Ada sebuah penyakit di mana seseorang itu takut akan kematian dan hatinya lebih mencintai dunia. Penyakit seperti inilah yang perlu dijauhi kerana bimbang hati kita akan terikat dengan dunia sehingga dikaburi oleh nikmat dunia semata-mata tanpa menitikberatkan perihal yang halal dan haram.

Justeru, ketakutan terhadap kematian itu perlu ada dalam diri kita bagi menjadikan diri kita sebagai orang yang sentiasa berhati-hati dalam hidup ini.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.