Ads Top

Nikmat Terbesar Buat Penghuni Syurga Ialah Melihat Wajah Allah

Umat Islam yang memasuki syurga kelak akan mendapat berbagai nikmat yang tidak dijangkau akal. Jika hari ini kita membayangkan kesenangan dalam syurga yang bakal diperoleh, dengan kediaman yang besar, sungai yang mengalir dan kedamaian yang tidak terasa di dunia, namun percayalah ia sekadar bayangan yang tidak akan sama.

Kerana nikmat di syurga adalah lebih besar dari itu dan tidak setanding dengan apa yang dibayangi oleh akal manusia.

Paling penting ialah nikmat yang besar itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dirasai oleh kita di dunia hari ini. Sebab itu, orang tua-tua sering berpesan – “Kalau dah pernah buat kat dunia, nanti takut kat syurga tak dapat buat dah” atau “kalau dah selalu buat kat dunia, takut tak merasa syurga nanti.”

Macam-macam lagi cara dan teguran yang diberikan oleh mereka. Tetapi ada satu nikmat yang paling besar dan tidak dapat ditandingi oleh nikmat-nikmat yang ada di syurga, iaitu nikmat melihat wajah Allah.

Pasti kita tertanya-tanya macam mana rupa Allah. Yang pasti ia adalah tidak sama dengan sekalian makhluk yang ada. Walau macam mana pun kita membayanginya, ia adalah rahsia Allah yang hanya dapat diketahui oleh penghuni syurga apabila tiba masanya nanti.

Shuhaib bin Sinan RA berkata, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Jika penghuni syurga telah masuk syurga, Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah kalian (wahai penghuni syurga) menginginkan sesuatu sebagai tambahan (dari kenikmatan syurga)?” Maka, mereka menjawab: “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kamu dari (azab) neraka?”

Maka, pada waktu itu Allah membuka hijab (yang menutupi wajahNya Yang Maha Mulia) dan penghuni syurga tidak pernah mendapatkan suatu (kenikmatan) yang lebih mereka sukai daripada melihat (wajah) Allah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 181)

Melalui hadis ini, kita melihat bahawa penghuni syurga yang sudah diberi pelbagai nikmat merasa cukup dengan nikmat tersebut. Sedangkan ada satu lagi nikmat terbesar yang apabila mendapatkan nikmat tersebut nescaya perasaan kepuasan itu hadir sehingga merasa cukup dengan semua benda di syurga.

Tetapi sebelum diberi nikmat tersebut, semua penghuni syurga akan diberi nikmat-nikmat lain sama ada yang diminta atau tidak.

Apabila mendapatkan nikmat itu, mereka merasa cukup kerana terlalu banyak dan terlalu sempurna yang sebelum ini tidak pernah didapati dan dirasai sehingga mereka melupakan nikmat terbesar, iaitu melihat wajah Allah.

Betapa hebatnya syurga yang diganjarkan kepada mereka yang beriman. Walau iman yang ada di hati hanya sebesar zarah, namun teruskan untuk berbuat baik kerana kita tidak tahu amalan mana yang boleh membawa kita ke syurga dan memberi kerahmatan dariNya.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.