Ads Top

Hukum Meleraikan Tali Ikatan Jenazah Sebelum Ditanam

Apabila kita menonton filem atau drama Melayu bergenre seram seperti mengisahkan mengenai pocong atau mayat yang tidak tenang di alam kubur, salah satu sebabnya ialah kerana ikatan tali pada mayatnya tidak dibuka.

Hal itulah yang menjadikan sesebuah plot cerita semakin suspen kerana jenazah tersebut tidak akan tinggalkan dunia dengan tenang selagi ikatannya tidak dibuka.

Tetapi, janganlah terpedaya dengan plot cerita tersebut kerana ia sebenarnya tidak ada kena mengena dengan ketenangan jenazah atau roh.

Orang yang sudah meninggal, kehidupannya di alam barzakh adalah bergantung kepada amalannya di dunia. Sebagaimana Utsman bin Affan menyebut:

Maksud: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Alam kubur adalah awal perjalanan akhirat. Barangsiapa yang berjaya di alam kubur, maka setelahnya lebih mudah. Barangsiapa yang tidak berhasil, maka setelahnya lebih berat.” Utsman berkata: “Aku tidak pernah memandang sesuatu yang lebih mengerikan dari kubur.” (Hadis Riwayat Tirmizi, 2308)

Walau bagaimanapun, berkenaan dengan membuka tali ikatan pada mayat itu, jumhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunnah.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyebut – “Ikatan yang mengikat kafan itu dibuka semuanya (ketika di liang kubur). Ini lebih utama. Yang sunnah, semuanya dilepaskan di dalam kubur. Ketika ia diletakkan di dalam kuburnya, maka semua ikatannya dilepaskan dari awal sampai akhir. Ini sunnah.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughni)

Mengapa sebelum dikebumikan ia perlu dibuka tetapi diikat sebelum dikebumikan? Dalam hal ini, ulama menyebut bahawa jenazah diikat bagi menjaga keaibannya. Ia bertujuan untuk menghalang kain kafan tersebut daripada terbuka.

Namun, apabila dimasukkan ke dalam liang lahad, ia dibuka kerana kebimbangan itu sudah tiada lagi. Kubur akan dikambus sebaik sahaja jenazah dikebumikan. Jadi, tiada masalah untuk membuka tali ikatan tersebut.

Justeru, hukum membuka ikatan jenazah adalah sunnah. Tidak mengapa jika tidak dibuka. Ia juga tidak akan menimbulkan kebimbangan jika jenazah tidak tenang dan sebagainya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.