Dulu Rajin Solat Malam, Sekarang Ditinggalkan
Iman itu ada turun naiknya. Ada masa kita rajin beribadah melakukan amalan-amalan tambahan. Ada pula masa untuk bangun solat fardu pun terasa berat dan malas. Penyebabnya mungkin kerana kepenatan, kesempitan masa dan tidak dinafikan mungkin kerana hati yang semakin lalai kerana dosa.
Selain itu, boleh jadi juga kerana kita terlalu berlebih-lebihan melakukan amalan semasa dalam mood rajin, sedangkan ia sukar dikekalkan ketika sibuk mahupun penat. Akhirnya kita meninggalkan terus ibadah sunat yang pernah dilakukan.
Inilah hal yang tidak disukai oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah berpesan kepada Abdullah bin ‘Amr:
يَا عَبْدَ اللَّهِ ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ ، كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ
“Wahai ‘Abdullah janganlah seperti si fulan. Dahulu ia rajin solat malam, sekarang ia meninggalkan solat malam tersebut.” (HR. Bukhari, no. 1152 dan Muslim, no. 1159)
Ibnu Hajar Al-Asqolani berkata, hadis daripada Abdullah bin ‘Amr di atas menunjukkan bahawa sunnah menjadikan sesuatu ibadah sebagai rutin tanpa menganggapnya remeh. Ia juga dianggap sebagai dalil tentang makruh memutuskan suatu ibadah walaupun amalan tersebut bukanlah amalan yang wajib.” (Fathul Bari, 3/38)
Selain itu, ia juga membawa mesej kepada kita bahawa tidak perlu berlebih-lebihan dalam beribadah sehingga ia sukar dijadikan rutin untuk jangka masa yang lama. Biar sedikit tetapi berterusan.
Bukankah kita sudah seringkali diingatkan bahawa Allah sangat mencintai amalan yang sekalipun sedikit tetapi berterusan.
Daripada ‘Aisyah r.anha, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun itu sedikit.” ‘Aisyah pun ketika melakukan suatu amalan selalu berkeinginan keras untuk merutinkannya. (HR. Muslim, no. 783)
Maka pilihlah dahulu satu jenis ibadah yang ingin dilakukan, kemudian lakukannya sehingga ia berjaya menjadi rutin yang tidak akan lagi ditinggalkan.
Cabaran inilah yang akan dihadapi oleh sesiapa sahaja yang ingin memperbaiki ibadah mereka dan menambahnya dengan amalan sunat. Akan ada masanya kita akan diuji dengan istiqamah – sama ada ingin meneruskan ibadah tersebut atau terus meninggalkannya. Justeru, rancanglah dengan bijak sejak dari awal.
No comments: