Ads Top

Doa Yang Sangat Sesuai Dibaca Pada Hari Arafah

Mungkin ramai yang mengambil peluang untuk berpuasa pada hari ini, Hari Arafah – hari yang dinyatakan antara hari yang paling disukai oleh Allah dalam bulan Zulhijjah. Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa berpuasa pada hari ini akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

Pada hari ini juga setiap orang disarankan untuk banyak berdoa memohon ampun kepada Allah, atau boleh juga berdoa dengan apa jua yang diingini. Hal ini kerana sebaik-baik doa yang dipohon adalah pada hari Arafah. Orang yang berpuasa pula pada hari ini mendapat keistimewaan yang berganda iaitu doa yang mustajab kerana berpuasa dan juga kerana Hari Arafah sendiri.

Kita juga tidak perlu mengikut waktu wukuf di Arafah untuk berdoa kerana waktu wukuf hanya khas untuk orang yang mengerjakan haji. Menurut Ustaz Addien, seluruh hari Arafah adalah hari mustajab doa.

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksud: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Tirmizi, 3509)

Doa yang banyak dibaca oleh Nabi SAW dan para sahabat adalah:

لا إلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ ؛ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

(La ilaaha illaAllah wahdahu la syariikalahu, lahul mulku walahul hamdu, wahuwa ‘ala kulli syai’in Qadiir)

Maksud: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dialah Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Selain itu, jika anda ingin memecahkan sedikit rutin berdoa dengan doa yang jarang-jarang diucapkan, boleh juga berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ في قَلْبِي نُورًا، وفي بَصَرِي نُورًا، وفي سَمْعِي نُورًا، وعَنْ يَمِينِي نُورًا، وعَنْ يَسارِي نُورًا، وفَوْقِي نُورًا، وتَحْتي نُورًا، وأَمامِي نُورًا، وخَلْفِي نُورًا، واجْعَلْ لي نُورًا

“Ya Allah, jadikanlah di dalam hatiku cahaya, dan di pandanganku cahaya, dan pada pendengaranku cahaya, dan dari kananku cahaya, dan dari kiriku cahaya, dan di atasku cahaya, dan di bawahku cahaya, dan di depanku cahaya, dan di belakangku cahaya, berilah aku cahaya.” (Sahih Bukhari, no. 6316)

Ini adalah doa yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh. Ia boleh dibaca juga pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi dalam masa yang berbaki sebelum kita memasuki gerbang 10 Zulhijjah.




No comments:

Powered by Blogger.