Ads Top

Bolehkah Menyandarkan Segala Keputusan Kepada Allah?

Pernahkah anda mendengar kenyataan segelintir orang yang kerap menyandarkan perbuatan buruk yang dilakukan mereka kepada takdir. Mereka seolah-olah memberi alasan bahawa tindakan yang dilakukan mereka telah ditakdirkan oleh Allah. Mereka menganggap bahawa diri mereka hanyalah pelakon di dunia ini sedangkan Allah adalah ‘pengarahnya’.

“Allah yang takdirkan benda ni jadi, bukan aku yang nak.”

Bahkan alasan ini digunakan dalam semua hal yang dilakukan dalam hidup, sama ada baik atau buruk, tidak kira ia patut atau tidak patut.

Ucapan sebegini seolah-olah menyalahkan Allah dalam hal-hal dilakukan. Contohnya apabila seseorang itu ingin berkahwin lain tanpa kerelaan isteri pertama. Kata mereka, Tuhan telah mempertemukan jodoh mereka berdua, jadi mereka tidak bersalah.

Atau apabila seseorang itu ingin menipu, lalu berhujah bahawa Allah telah mentakdirkan perkara itu, maka ia terjadi.

Adakah perbuatan menyandarkan kepada Allah ini tepat dan dibenarkan dalam agama sebenarnya?

Hakikat yang harus kita tahu bahawa dalam penentuan takdir, seorang manusia itu masih mempunyai ruang untuk memilih dan mempunyai kemampuan berikhtiar. Kerana itulah, kita dianugerahkan dengan otak dan keupayaan berfikir bagi menimbang hal yang baik dan buruk dalam membuat keputusan.

Ilmu Allah membenarkan apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Perumpamaan yang dinyatakan oleh Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga menarik untuk diceritakan kembali.

Persoalan ini boleh diibaratkan seperti ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya, siapa antara mereka yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal. Tetapi, bukan ilmu si guru yang menyebabkan mereka berjaya atau gagal kerana di akhirnya yang menentukan berjaya atau gagal adalah usaha mereka sendiri.

Ramai sebenarnya yang tersilap memahami isu qada’ dan qadar ini. Imam An-Nawawi menyebutkan daripada Imam Al-Khattabi bahawa ramai yang menyangka bahawa ia adalah paksaan dan tekanan Allah SWT ke atas hambanya sedangkan ia adalah sebaliknya. Allah hanya mempermudahkan suatu itu terjadi berdasarkan pilihan mereka.

Sayyiduna Abdullah bin Umar r.anhu pula pernah ditanya tentang orang yang melakukan perbuatan buruk dan ada yang menjawab bahawa ia adalah dalam ilmu Allah. Beliau jadi marah sambil berkata, “Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu”.

Justeru, fahamilah perihal takdir ini dengan sebenarnya. Kita masih mempunyai ruang untuk memilih sama ada ingin melakukan sesuatu atau tidak. Usah menyandarkan segala tindakan dan keputusan yang dilakukan kepada Allah padahal sebenarnya hanya ingin menutup kekurangan dan kelemahan diri sendiri.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.