7 Perkara Yang Perlu Ditikberatkan Untuk Bangun Qiamullail
Salah satu kenikmatan bagi seorang Muslim ialah dapat bangun melakukan amalan sunat tahajud. Sering disebutkan bahawa orang yang mampu bangun tahajud beruntung kerana boleh ‘berjumpa’ dengan Allah. Diumpamakan sebegitu kerana dia mampu meluahkan segala perkara kepadaNya dalam munajat dan juga doa.
Pada waktu itu juga ketenangan lebih terasa kerana keadaan lebih sunyi dan tenteram. Untuk merasai pengalaman lebih menarik untuk bangun menunaikan qiamullail, tujuh perkara yang perlu dititikberatkan ialah:
#1- Niat Untuk Bangun Semula Berqiamullail
Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila ingin bangun qiamullail ialah berniat sebelum tidur. Niat yang baik sudah dikira pahalanya sekalipun masih belum dilakukan. Bahkan jika kita tidak terbangun sekalipun, tidur itu sudah dikira sebagai sedekah.
Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَتَى فِرَاشَهُ، وَهُوَ يَنْوِي أَنْ يَقُوْمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَغَلَبَهُ النَّوْمُ حَتَّى يُصْبِحَ، كُتِبَ لَهُ مَا نَوَى، وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Barangsiapa yang naik ke atas tempat tidurnya sedang ia telah berniat untuk bangun melakukan solat di malam hari, namun ia tertidur hingga waktu Subuh, maka ditulis baginya pahala apa yang ia niatkan dan tidurnya itu adalah sedekah dari Rabbnya.”
#2- Berzikir Ketika Bangun Tidur
Apabila bangun daripada tidur, bacalah dahulu doa bangun daripada tidur, iaitu:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksud: “Segala puji bagi Allah yang telah menghiudpkan kami setelah mematikan kami, dan kepadaNya lah tempat kembali.”
Selain itu, Rasulullah SAW melazimi doa-doa pujian kepada Allah SWT yang lain iaitu:
“Ya Allah bagiMu segala puji, Engkau Yang mengurus langit dan bumi dan semua makhluk yang ada di dalamnya. BagiMu segala puji, milikMu kerajaan langit dan bumi dan makhluk yang ada di dalamnya. BagiMu segala puji, Engkau cahaya langit dan di bumi dan apa yang ada di dalamnya.
BagiMu segala puji, Engkau Raja di langit dan di bumi dan bagi semua makhluk yang ada di dalamnya. BagiMu segala puji, Engkau adalah haq, janjiMu adalah haq, berjumpa denganMu adalah haq, firmanMu adalah haq, Syurga adalah haq, Neraka adalah haq, para Nabi adalah haq, Muhammad SAW adalah haq dan hari Kiamat juga haq.
Ya Allah hanya kepadaMu aku pasrah, kepadaMu aku beriman, kepadaMu aku bertawakal, kepadaMu aku kembali, dengan hujahMu aku bertikai, kepadaMu aku memohon putusan hukuman. Ampunilah dosaku yang lalu dan akan datang, yang tersembunyi dan yang terang-terangan. Engkau Yang mendahulukan dan Yang mengakhirkan. Tidak ada ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi kecuali Engkau.”
#3- Memberus Gigi
Umum mengetahui bahawa bersugi atau memberus gigi merupakan sunnah yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah SAW lebih-lebih lagi apabila ingin solat. Baginda akan bangun, bersugi dan mengambil wuduk. Jadi, bersihkan dan segarkan dahulu diri dengan memberus gigi agar rasa mengantuk hilang.
#4- Membangunkan Keluarga Untuk Melakukan Solat Tahajjud
Antara kelaziman Rasulullah SAW juga ketika bangun untuk solat malam, baginda akan mengejutkan isteri baginda agar bersolat sama.
Aisyah r.anha pernah bercerita bahawa baginda akan melakukan solat pada malam hari dan apabila beliau melakukan solat witir, beliau berkata:
“Bangunlah dan solat witirlah wahai Aisyah!”
#5- Membaca Al-Quran
Antara perkara yang boleh dilakukan apabila bangun untuk solat tahajud ialah membaca ayat-ayat Al-Quran lebih-lebih lagi dalam solat.
Waktu yang tenang juga boleh membantu kita untuk lebih menghayati bacaan Al-Quran serta meneliti maksud yang ada di sebalik firmanNya menggunakan Al-Quran terjemahan.
#6- Memperbanyakkan Doa
Dari Jabir r.anhu, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ فِي اللَّيْلِ لَسَاعَةً، لاَ يُوَافِقُهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ
“Sesungguhnya di malam hari terdapat suatu waktu, yang apabila seorang muslim memohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat bertepatan dengan waktu itu, Allah pasti mengabulkannya dan waktu itu ada di setiap malam.” (HR. Muslim dalam kitab Solaatil Musaafiriin, bab Fil Laili Saa’atun Mustajaabun fii had Du’aa’, no. 757)
#7- Tidak Solat Dalam Keadaan Mengantuk
Kita bersolat dengan tujuan untuk beribadah serta bermunajat kepada Tuhan. Kita ingin meluah kepadaNya, memohon doa serta melakukan amalan yang dapat menundukkan hati untuk lebih akur kepada perintah dan larangannya. Justeru, tanyakan pada diri, adakah kita boleh mencapai matlamat tersebut jika kita beribadah dalam keadaan mengantuk.
Rasulullah SAW berpesan, bahawa “Bila seseorang daripada kalian mengantuk dalam solatnya, maka hendaklah dia tidur agar dia mengetahui apa yang dibacanya…” (HR. Al-Bukhari dalam kitab al-Wudhu’-i bab al-Wudhu’-i minan Naum, no. 213)
Kesimpulan
Kadang-kadang kita terlupa untuk menjaga kualiti ibadah dan hanya sekadar melakukannya begitu sahaja. Ada yang mungkin bangun dalam keadaan mengantuk, membersihkan wajah ala kadar dan kemudian solat pula dalam keadaan kantuk belum hilang. Seharusnya, telitilah ketujuh-tujuh perkara di atas bagi memastikan solat malam yang didirikan adalah dalam sebaik-baik keadaan. InsyaAllah.
No comments: