Wanita Ialah Madrasah Pertama Kepada Anak-Anak
Sebagi seorang lelaki yang sudah menetapkan keazaman untuk bernikah suatu hari nanti, pasti anda juga pernah meletakkan ciri-ciri wanita yang bagaimana untuk dijadikan pasangan hidup.
Ada yang menginginkan wanita yang cantik rupawan. Ada juga yang tidak kisah soal rupa asalkan tahu memasak dan pandai menghormati suami. Malah, ada juga yang menginginkan kedua-duanya.
Namun, yang paling penting ialah carilah wanita yang baik hatinya dan mempunyai pakej yang telah ditetapkan agama, iaitu;
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka, pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau akan beruntung.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Boleh untuk meletakkan ciri-ciri seperti kecantikan, hartawan atau nasab keturunannya. Itu adalah bergantung kepada cita rasa anda sendiri.
Tetapi, jangan pula dilupakan akan agamanya. Lihatlah bagaimana peribadinya dan bagaimana cara dia mengamalkan agamanya.
Wanita Ialah Madrasah Pertama Anak-Anak
Keperibadiannya perlu dititikberatkan. Hal ini kerana mereka akan menjadi madrasah kepada anak-anak dan keturunan anda.
Ini bukanlah bermaksud anda perlu lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada si isteri apabila sudah berumah tangga nanti. Anda juga perlu memainkan peranan penting dalam rumah tangga kalian.
Namun, wanita ialah madrasah pertama kepada anak-anak anda. Tangan merekalah yang akan membantu keluarga anda untuk berkembang biak mengikut ajaran Islam yang baik.
Justeru, untuk memilih calon isteri, pilihlah yang punya keperibadian yang baik. Atau, anda boleh sahaja memilih siapa sahaja yang anda suka jika anda sudah niatkan untuk mendidik mereka ke jalan kebaikan bersama-sama anda kerana anda juga boleh menjadi madrasah, iaitu madrasah pertama kepada isteri anda.
Semoga dengan pasangan yang anda pilih mampu membawa anda untuk lebih dekat dengan Allah agar hubungan yang dibina itu bukan sahaja untuk kebahagiaan dunia tetapi selama-lamanya sehingga ke syurga.
Wallahu a’alam.
No comments: