Ads Top

Usah Memandang Kecil Suatu Dosa, Tapi Lihat Siapa Yang Engkau Derhakai

Kata-kata dalam tajuk di atas sebenarnya diucapkan oleh Bilal bin Sa’ad rahimahullah.

“Janganlah engkau melihat kecilnya suatu dosa, namun hendaklah engkau melihat siapa yang engkau durhakai”

Kita mungkin sering memandang ringan dosa-dosa yang dilakukan.

“Ah, tak seberapa pon dosa aku buat. Lambat bangun solat Subuh je. Aku masih solat.”

“Aku buang makanan je. Lagipun dah kenyang.”

“Aku umpat dia sikit je.”

Tetapi pernahkah kita fikir, siapa yang telah kita derhakai. Suruhan dan pesanan siapakah yang telah kita langgar.

Dalam contoh di atas, kita sudah melanggar pesanan daripada Baginda Rasulullah SAW dan juga Allah SWT. Kerana kita sudah dipesan agar menjauhkan diri daripada perbuatan membazir serta menjaga solat supaya tidak melewat-lewatkannya. Baginda juga berpesan agar menjaga percakapan kerana ia mampu menyakiti orang lain.

Anas bin Malik r.anhu pernah menyebutkan kata-kata yang sangat mendalam.

“Sesungguhnya kalian mengerjakan amalan (dosa) di hadapan mata kalian tipis seperti rambut, namun kami (para sahabat) yang hidup di masa Nabi SAW menganggap dosa semacam itu seperti dosa besar.”

Antara sifat orang beriman adalah mereka sentiasa berhati-hati dalam tindakan dan amalan – kerana takut derhaka kepada Allah dan mengingkari arahan Rasulullah SAW. Sehingga para sahabat pada zaman baginda sentiasa meminta nasihat dan bertanya baginda tentang amalan apakah yang paling baik untuk dilakukan.

Kerana takwa ialah menjauhi apa yang menjauhkan dirimu daripada Tuhan. Begitu pesan Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari.

Orang yang beriman akan melihat dosanya seperti gunung yang boleh menghempap, sedangkan orang yang gemar melakukan maksiat melihat dosanya seperti seekor lalat yang lalu begitu sahaja di hadapan hidungnya.

Seharusnya kita takut untuk melakukan kesalahan bukan hanya kerana takut kepada dosa dan hukuman, tetapi bimbang jika Allah sudah murka atau Nabi SAW kecewa dan tidak mengaku umat.




No comments:

Powered by Blogger.