Ads Top

Bolehkah Jika Tidak Hadir Solat Jumaat Tetapi Telah Mendaftar

Pada awal penularan COVID-19, kerajaan telah melakukan pelbagai cara untuk membendungnya. Bermula dengan perintah kawalan pergerakan yang memerlukan semua orang duduk di rumah, ada yang bekerja dari rumah dan termasuklah dengan penutupan masjid serta surau.

Banyak aktiviti keagamaan yang tidak dapat berjalan seperti biasa. Ibadah mula dilakukan dalam suasana norma baharu.

Buat pertama kalinya kita merasai halangan untuk ke masjid sedangkan masjid ialah tempat yang paling digalakkan untuk dikunjungi sebelum ini.

Malah, apabila dilihat pada pemulaannya, ramai yang ingkar akan arahan tersebut, masih berdegil untuk menunaikan jemaah dan melakukan aktiviti keagamaan di surau.

Namun, lama kelamaan ia sudah dapat diterima oleh masyarakat kita. Sehingga kini, kita sudah hampir melihat kepada hasilnya, iaitu penurunan kes dari hari ke hari semakin membaik.

Kini, masjid dan surau mula dibuka. Solat berjemaah dan Jumaat juga mula diberi kebenaran untuk berjalan, namun masih lagi dalam norma baharu.

Dengan bantuan teknologi pula, sebahagian daripada kita sudah tidak perlu beratur untuk menempah tempat di masjid. Hanya perlu daftar untuk mendapat tempat.

Sebagaimana yang dilakukan di Sarawak. Kalau di Selangor pula, hanya jemaah yang menerima jemputan dari pihak masjid melalui paparan telefon atau kad fizikal sahaja yang dibenarkan datang.

Jadi, buat mereka yang masih belum mendapat jemputan atau tidak sempat menempah tempat, mereka perlu menunggu dan berusaha untuk Jumaat berikutnya.

Tidak semua negeri yang menggunakan kaedah ini. Namun apabila melihatkan kemudahan melalui teknologi ini, ia sedikit sebanyak membantu umat Islam supaya tidak perlu beratur dan menunggu.

Tetapi, bagaimana dengan jemaah yang berjaya mendapat tempat di masjid namun mensia-siakan peluang ini? Ada yang mengendahkannya dan tidak hadir ke masjid.

#1 – Pertama, dalam hal ini perlu dilihat kepada sebab yang kukuh. Jika disebabkan oleh keuzuran yang tertentu seperti mempunyai gejala batuk, demam atau selesema, maka ia adalah tidak mengapa.

Hal ini kerana, kerajaan sendiri telah mengeluarkan arahan kepada golongan ini untuk tidak berada di khalayak ramai. Ia adalah sebagai salah satu langkah pencegahan yang perlu diambil.

Ini adalah termasuk dalam keadaan uzur yang diizinkan syarak, iaitu yang membolehkan seseorang tidak mengerjakan solat berjemaah termasuklah solat Jumaat.

#2 – Yang kedua ialah apabila keadaan itu adalah disengajakan tanpa alasan yang munasabah. Sebagai contoh, ia adalah disebabkan kemalasan diri sendiri.

Keadaan ini adalah tidak dibolehkan. Apabila sudah sampai jemputan kepada anda untuk menunaikan solat Jumaat, maka ia bermaksud anda adalah insan terpilih. Maka, sudah tidak ada halangan lagi yang menyekat anda untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Tempat yang berjaya didapati oleh anda itu pastinya diingini oleh ramai lagi umat Islam di luar sana. Jadi, janganlah pandang remeh akan perkara tersebut.

#3 – Ketiga, jika ia boleh diganti dengan orang lain atau anda boleh merespon dengan menyatakan ketidakhadiran tersebut untuk diambil tindakan oleh jawatankuasa masjid (untuk menggantikannya), maka ia adalah lebih baik. Seeloknya jangan ditinggalkan sepi tempat tersebut.

Namun, sebaiknya dilihat juga kepada sebab anda sendiri? Mengapa tidak ingin hadir solat Jumaat? Adakah kerana keuzuran atau kemalasan sendiri. Tepuk dada tanya iman.

Kesimpulan

Dalam hal ini, kita perlu melihat hukum menunaikan solat Jumaat itu sendiri. Apabila tidak lagi mempunyai halangan, ia sudah menjadi suatu kewajipan.

Namun, jika terdapat keuzuran atau perkara yang menghalang, boleh mengambil inisiatif lain untuk tidak menerima jemputan tersebut.

Rujukan:
Mufti Wilayah

Baca Juga:
Perlukah Beratur Untuk Mendapat Tempat Solat Jumaat




No comments:

Powered by Blogger.