Larangan Menghukum Manusia Atas Perkara Yang Tidak Dilakukannya
“Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada di tepian pantai.”
Pasti sebahagian daripada anda pernah mendengar lagu ini. Ia merupakan sebuah nasyid yang popular pada suatu ketika dahulu sehingga kini yang dibawakan oleh kumpulan Raihan.
Maksud yang paling jelas yang dapat dilihat di sini ialah iman itu terkandung dalam hati setiap individu itu sendiri. Jika ayahnya seorang imam masjid, belum tentu anaknya juga akan mengikut jejak langkahya sebagai imam.
Atau, jika ibunya itu seorang banduan, belum tentu si anak itu akan melakukan kesalahan seperti ibunya atau lebih besar.
Kehidupan dan pengkahiran seseorang itu adalah bergantung kepada hati dan dirinya sendiri. Tidak dinafikan bahawa pengaruh sekeliling juga boleh menjadi asbab kepada perubahan seseorang, namun semuanya adalah bergantung kepada diri sendiri.
Jadi, jangan menjadi manusia yang cepat menghukum. Sebagaimana sebuah hadis daripada Baginda SAW yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA;
Maksud: “Apabila ada seseorang yang berkata: “Celakalah manusia”, maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 4755)
Adalah lebih baik untuk kita memberi peluang kepada mereka untuk menjalankan kehidupan seperti biasa. Jika terlihat kesalahan, tegurlah dengan cara yang berhemah.
Elakkan mengguna perkataan yang berbaur kebencian dan herdikan. Bimbang jika kata-kata tersebut boleh mengakibatkan seseorang tawar hati untuk menjadi baik.
Permulaan dan pengakhiran kehidupan manusia itu berbeza-beza. Bahkan hidup kita di dunia ini bukan sahaja ditentukan dengan hubungan kita dengan Allah, namun juga hubungan sesama manusia.
Jadi, jagalah hubungan sesama manusia dengan baik. Jangan menghukum seseorang di atas kesalahan yang tidak dilakukannya.
Wallahu a’alam.
No comments: