Ads Top

Hukum Tidak Mencukur Bulu Badan Dalam Tempoh 40 Hari

Antara bulu yang dikehendaki untuk sentiasa dipotong adalah bulu kemaluan, bulu ketiak, dan juga misai. Seseorang itu boleh sahaja memilih apa-apa kaedah untuk memotong, mencukur atau mencabutnya. Kini ada yang mengguna pakai kaedah ‘waxing’ dan juga laser untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Manakala bulu yang dilarang daripada dipotong (makruh) adalah janggut manakala bulu yang haram dicabut pula adalah bulu kening. Persoalannya, sekerap manakah bulu ini perlu dipotong?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra beliau berkata:

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الأَظْفَارِ وَنَتْفِ الإِبْطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لاَ نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Ditetapkan waktu buat kami pada memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencabut bulu kemaluan, agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh malam.” (Riwayat Muslim, no. 258)

Melalui hadis di atas, ia menjadi panduan buat umat Islam agar memotong bulu yang telah disebutkan, dan tidak membiarkannya melebihi 40 hari. Manakala pihak Mufti Wilayah Persekutuan menyebutkan hukumnya makruh jika membiarkan bulu kemaluan dan bulu ketiak dalam tempoh masa yang terlalu lama melebihi 40 hari.

Bulu-bulu tersebut mestilah dipotong apabila telah panjang dan terdapat keperluan melakukannya. Hal ini kerana, kebersihan dan penjagaan diri sangat dituntut dalam kehidupan seorang Muslim.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.