Meninggalkan Puasa Kerana Hamil Atau Menyusukan Anak – Adakah Perlu Qadha, Bayar Fidyah Atau Keduanya
Dalam setiap perintah ibadah yang dikenakan kepada seorang Muslim, ada keringanan dan pengecualian yang disediakan. Contohnya dalam menunaikan ibadah puasa yang wajib pada bulan Ramadan – wanita yang sedang hamil atau sedang menyusukan diberi keringanan untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa.
Dalil yang menjadi sandaran kepada hal ini adalah sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.” [Riwayat al-Tirmidzi (no.715), Al-Nasaie (no.2775) dan Ibn Majah (no.1667)]
Bermakna, orang yang bermusafir boleh menggabungkan (jamak) dua solat sekaligus sedangkan bagi wanita mengandung dan menyusukan anak pula boleh berbuka puasa atau tidak berpuasa.
Malah tidak ada syarat khusus yang ditetapkan kepada wanita yang hamil untuk tidak berpuasa. Mereka boleh sahaja memilih untuk berbuka atau tidak berpuasa apabila bimbang keadaan diri, anak yang dikandung atau yang sedang disusukan.
Walau bagaimanapun, terdapat khilaf mengenai apakah perempuan dalam situasi hamil atau menyusukan anak perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan atau tidak. Berikut adalah perbezaan berdasarkan mazhab dan juga ulama:
Pertama (Mazhab Syafie dan Hanbali)
Perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa (hanya kerana takut kesihatan janin atau anak yang disusukan) – wajib qada’ dan perlu bayar fidyah.
Kedua (Mazhab Hanafi)
Perempuan hamil atau menyusukan anak yang meninggalkan puasa – wajib qada’ puasa sahaja dan tidak perlu bayar fidyah.
Pendapat ini dinyatakan oleh Al-Hasan, Atha’ Al-Nakhaie, Al-Zuhri, Al-Auzaie, Sufyan Al-Thauri. Ini juga salah satu pendapat dalam Mazhab Syafie.
Ketiga (Mazhab Maliki)
Wanita yang meninggalkan puasa kerana menyusukan bayi sahaja – wajib qada’ dan fidyah.
Wanita yang meninggalkan puasa kerana hamil – Wajib qada’ sahaja tanpa perlu bayar fidyah.
Ini lah pendapat ketiga dalam Mazhab Syafie.
Keempat (Pendapat Sebahagian Sahabat Seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Ibnu Sirin)
Perempuan yang hamil dan menyusukan anak kerana bimbang ke atas dirinya atau anaknya – boleh berbuka dan tidak perlu menggantikan (qada’) puasa. Hanya perlu membayar fidyah sahaja.
Pendapat keempat ini disandarkan kepada ayat 184 dalam Surah Al-Baqarah iaitu:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah al-Baqarah 2:184)
Kesimpulan
Pendapat-pendapat yang dipilih oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula adalah seperti berikut:
1. Jika seorang perempuan bimbang terhadap diri dan anak atau bimbang pada dirinya sahaja – perlu qada’ sahaja.
2. Jika bimbang pada anak yang dikandung, atau yang disusukan sahaja (tanpa bimbang akan dirinya) – boleh berbuka puasa. Kemudian tidak perlu qada’. Hanya perlu membayar fidyah sahaja (menurut pendapat yang keempat di atas)
3. Menurut pendapat Mazhab Syafie – Harus berbuka tetapi wajib qada’ puasa semula serta membayar fidyah. Ini juga yang menjadi amalan ramai umat Islam di Malaysia.
Sekian.
No comments: