Ads Top

Baik Lelaki Mahupun Perempuan, Jangan Ambil Ringan Perihal Aurat

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, ramai di antara kita yang telah mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman terutamanya bagi golongan pelajar dan juga mereka yang diarahkan bekerja dari rumah.

Hal ini dapat dilihat menerusi berita-berita yang telah tular apabila stesen-stesen bas telah sesak dengan ribuan manusia dan juga semua tiket dikatakan telah habis terjual.

Berikutan daripada itu, boleh dikatakan hampir semua keluarga ‘berkampung’ di dalam satu rumah. Mungkin, dalam sebuah rumah adanya adik dan kakak ipar, anak saudara lelaki dan perempuan, sepupu dan juga ibu serta ayah mentua.

Satu perkara yang tidak boleh diambil ringan ialah aurat anda ketika bersama dengan keluarga. Sama ada anda lelaki atau perempuan, soal aurat tidak boleh diambil mudah.

Maksud: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki (lainnya) dan janganlah pula seorang wanita melihat aurat wanita (lainnya). Seorang lelaki tidak boleh bersama lelaki lain dalam satu kain dan tidak boleh pula seorang wanita bersama wanita lainnya dalam satu kain.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 38)

Terdapat beberapa batas aurat yang perlu diambil perhatian, antaranya ialah:

#1 – Batas Aurat Lelaki

Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat sehingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya.

Tambah mereka lagi, aurat lelaki ada dua keadaan, iaitu auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja. (Rujuk Kitab al-Fikh ‘Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid 1)

Justeru, jika anda lelaki dan di dalam rumah anda ada kakak ipar ataupun anak perempuan kepada ibu saudara anda (sepupu perempuan anda), maka wajib menjaga aurat anda dengan sebaiknya.

Elakkan memakai seluar tiga suku (atas lutut) atau pakaian yang tidak bersesuaian yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada penghuni di dalam rumah anda.

#2 – Batas Aurat Wanita

Jumhur ulama bersepakat bahawa batas aurat wanita kepada lelaki yang bukan mahram adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

Mafhum: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.” (Surah An-Nur, 24:31)

Berkenaan dengan batas aurat wanita dengan yang mahramnya pula adalah antara pusat dan lutut. Justeru, wajib menjaga aurat anda dengan baik ketika berada di hadapan kakak, kakak ipar mahupun sepupu perempuan.

Walau bagaimanapun, menutup bahagian-bahagian tertentu badan yang boleh menaikkan nafsu syahwat lelaki walaupun mahram sendiri adalah lebih baik dan dapat menjaga maruah.

Ini ialah senarai golongan mahram dengan wanita. Dalam bahasa mudahnya, mahram bermaksud orang yang haram berkahwin dengan kita.

Mahram bagi wanita adalah mereka yang boleh memandangnya, berdua dengannya, melakukan safar (perjalanan) bersama, diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya haram.

1- Bapa kandung dan ke atas seperti datuk dan moyang.

2- Anak lelaki dan ke bawah seperti cucu dan cicit.

3- Adik beradik lelaki.

4- Bapa saudara dari sebelah ibu dan ke atas seperti datuk saudara.

5- Bapa saudara dari sebelah bapa dan ke atas seperti datuk saudara.

6- Anak-anak saudara lelaki iaitu anak lelaki kepada adik beradik lelaki atau adik beradik perempuan dan ke bawah seperti cucu-cucu saudara lelaki.

7- Bapa susuan.

8- Adik beradik susuan yang lelaki.

9- Bapa mertua.

10-Menantu lelaki (suami kepada anak perempuan).

Kesimpulan

Menutup dan menjaga aurat itu adalah perkara yang wajib dilakukan kerana ia adalah termasuk dalam suruhan Allah yang telah dinukilkan dalam Al-Quran dan juga melalui hadis-hadis sahih Baginda SAW.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Batas Aurat Dan Pergaulan Antara Perempuan Dan Bapa Tirinya
Hukum Hakam Bersalaman Dengan Sanak Saudara




No comments:

Powered by Blogger.