Ads Top

Cerpen “Bukan Kerana Kita Tidak Pernah Gagal” – Pentingnya Percaya Kepada Diri Sendiri

Setiap orang punya bakat yang tersendiri sama ada anda anak seorang bangsawan ataupun pemimpin politik, masing-masing dilahirkan dengan bakat sendiri. Mungkin ada bakat yang diwarisi, namun ia juga dilatih daripada kecil untuk memastikan sama ada ia benar-benar bersesuaian dengan diri seseorang mahupun tidak.

Itulah tema yang digarapkan dalam cerpen ini. Nukilan yang dihasilkan oleh Maryam A’adila Zainuddin membawakan sebuah watak utama, iaitu Dr. Adelia yang merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti dalam bidang teater.

Mengimbau kenangannya sewaktu kecil yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikut jejak langkah ibu bapa serta adik-beradiknya sebagai sebuah keluarga yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

Namun, beliau tidak mempunyai bakat yang sama yang ada pada diri setiap ahli keluarga mereka. Hal itu menyebabkan beliau gagal beberapa kali semasa sesi ujibakat. Walaupun beliau menyedari akan hakikat itu, namun disebabkan tidak ingin menghampakan harapan orang tuanya, beliau tetap mencuba walau terpaksa menghadapi kegagalan beberapa kali.

Ibunya yang menyedari hakikat itu setelah melihat kekecewaan pada wajah anak perempuannya itu memberi nasihat yang cukup membuka hatinya – tidak semua orang dilahirkan sama.

Kegagalan itu ada dua jenis. Sama ada untuk mengajar seseorang agar tidak mengenal erti berputus asa sehingga menempuh kejayaan atau mungkin juga untuk membuka mata seseorang akan hakikat bakat lain yang boleh diceburi.

Hal ini yang menyebabkan Adelia bangkit daripada kegagalan dan menceburi bidang seni lain, iaitu pementasan teater. Dek keyakian dan semangat yang membara yang ada pada dirinya menyebabkan beliau akhirnya mampu menjadi seorang pensyarah.

Semua Orang Dilahirkan Unik

Semua orang dilahirkan di dunia ini dengan keistimewaannya yang tersendiri. Ada yang dilahirkan boleh menyanyi. Ada yang boleh menari. Ada yang pakar dalam bidang kira-kira dan banyak lagi.

Justeru, sentiasa percaya dan yakin dengan bakat dan keunikan yang ada dalam diri sendiri untuk membina sesuatu yang unik juga. Tidak semestinya jika anda seorang anak kepada ustaz, maka bakat dan iman ustaz tersebut turut jatuh kepada diri anda. Hal ini kerana, manusia dilahirkan berbeza dengan ragamnya yang tersendiri.

Oleh itu, percaya kepada diri anda sendiri dan lakukan apa yang anda rasakan selesa dan gemar. Jika anda sendiri yang meragui akan kelebihan diri sendiri, siapa lagi yang akan mempercayai anda.

Dalam perkara ini, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting untuk membentuk keyakinan diri anak-anak. Mereka ialah manusia yang paling dekat dengan anak-anak dan guru pertama kepadanya. Oleh itu, ibu bapalah orang yang paling layak memberi nasihat dan mempercayai kemampuan anak-anak mereka.

Kesimpulan

Setiap orang pasti pernah merasai kegagalan. Sama ada sekali atau banyak lagi, namun itulah pengajaran hidup yang membantu mematangkan seseorang. Gagal tidak bermaksud anda tidak berjaya tetapi ia adalah pemangkin kepada kejayaan anda.

Justeru, belajar daripada setiap kegagalan yang anda hadapi untuk lebih maju ke hadapan. Yang paling penting, percaya kepada diri sendiri dan buktikan bahawa anda juga dilahirkan dengan bakat yang unik.




No comments:

Powered by Blogger.