Ads Top

Hukum Mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan

“Kalau Allah nak matikan, kita boleh mati di mana-mana sahaja”

Mungkin ini yang difikirkan oleh segelintir orang yang berpegang bahawa isu wabak penyakit COVID-19 yang menyerang seluruh dunia ini adalah isu picisan sahaja. Mungkin juga mereka berasa bahawa diri sendiri tidak akan terkena wabak tersebut. Ada pula yang menganggap manusia lebih takutkan wabak ini berbanding Allah.

Buktinya, menurut Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan, pada hari pertama perintah ini dijalankan hanya 60 peratus rakyat Malaysia mematuhinya.

Sebagaimana hukum mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah wajib menurut Mufti Wilayah Persekutuan, maka kami melihat sama juga dalam Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini. Malah lebih berat lagi kerana keadaan yang semakin genting. Justeru, semua orang wajib mematuhinya.

Ia bertepatan dengan perintah dalam Islam yang menyuruh setiap Muslim mentaati pemimpin dan arahan-arahan yang bertujuan menjaga keselamatan dan membawa kebaikan.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.” (Surah Al-Nisa’ 4:59)

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri isunya bukan takut kepada penyakit melebihi takut kepada Allah, tetapi ini adalah soal keselamatan sejagat. Bukan hanya tentang diri kita tetapi termasuk orang lain. Allah melarang kita membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛوَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah Al-Baqarah 2:195)

Ayat di atas jelas melarang manusia melakukan apa jua perbuatan yang dapat membahayakan diri sendiri, malah perkataan أَحْسِنُوا (Ahsinuu) tersebut menunjukkan arahan untuk berbuat sebaik mungkin dalam segenap urusan kehidupan.

Jika dikaitkan dengan apa yang sedang dilalui oleh kita sekarang dalam berhadapan dengan wabak COVID-19, setiap orang perlu melakukan usaha sebaik mungkin dalam menjaga kesihatan dan keselamatan. Caranya sudah pasti dengan mematuhi arahan dan saranan yang telah dikeluarkan seperti menjaga kebersihan, membasuh tangan, memakai penutup muka, mengehadkan pergerakan dan lain-lain.

Sebelum Tzkrh mengakhiri artikel kali ini, mari kita teliti kisah yang disampaikan oleh Dr Zulkifli tentang tindakan Saidina Umar ketika berhadapan dengan peristiwa taun.

Saidina Umar pernah diberitahu tentang kejadian wabak taun yang terjadi berhampiran kawasan Jordan lalu beliau mengambil keputusan untuk tidak masuk ke kawasan tersebut.

Apabila beliau tidak masuk, sahabatnya Abu Ubaidah Al-Jarrah terus bertanya,

“Adakah kamu takut dengan qada’ Allah?”

Lalu dijawab Saidina Umar,

“Aku lari daripada qada’ Allah kepada qadar Allah”

Bermakna, ada usaha dan ikhtiar yang perlu dilakukan. Tidak boleh bertawakkal dan berserah kepada Allah semata-mata tanpa ikhtiar untuk mengelakkan bahaya dan kemudaratan. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.