Situasi Yang Boleh Diringkaskan Solat
Kita dianjurkan untuk thama’ninah dalam solat. Ia bermaksud solat dengan tenang dan tidak tergesa-gesa dengan mengikut semua rukun yang ditetapkan.
Dalam solat, kita bukan sahaja melaksanakan ibadah wajib yang ditetapkan, malah kita sebenarnya sedang berhadapan dengan tuhan sekalian alam. Oleh itu, bersolatlah seolah-olah ia merupakan solat terakhir yang anda lakukan.
Walau bagaimanapun, sebenarnya terdapat beberapa situasi yang dibolehkan untuk menyegerakan solat (melakukan solat dengan ringkas dan tidak lama) yang sedang dilakukan dengan syarat, segala rukun yang dilakukan masih lagi dijaga agar tidak membatalkan solat tersebut. Antaranya ialah:
#1 – Iqamah Berkumandang Ketika Anda Sedang Solat
Jika anda sedang mengerjakan solat sunat qabliyah (solat sunat sebelum) atau mengerjakan solat Zuhur di akhir waktu dan ketika itu imam sudah mengumandangkan iqamah, maka anda perlu bersegera untuk menyelesaikan solat tersebut agar boleh bersama dengan imam untuk solat seterusnya.
إذا أقيمت الصلاة فلا صلاة إلا المكتوبة
Maksud: “Jika iqamah dikumandangkan, maka tidak ada solat lagi selain solat wajib.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 710)
#2 – Jika Imam Mendengar Tangisan Bayi
Jika sedang berada dalam solat, anda mendengar tangisan anak anda dan tiada sesiapa yang boleh membantu untuk menjaga anak anda ketika itu, maka dibolehkan untuk tidak berlama-lama dalam solat.
Sama juga dengan situasi jika si imam yang sedang mengimami solat namun terdengar tangisan bayi. Maka, dibolehkan untuk meringkaskan solat tersebut.
Hal ini juga diriwayatkan pernah berlaku ketika Baginda SAW sedang mengimami solat.
إِنِّي لَأَدْخُلُ فِي الصَّلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ، فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ
Maksud: “Aku pernah mengimami solat dan aku berniat untuk memanjangkan solat tersebut. Namun, aku mendengar tangisan anak kecil. Maka, aku ringkaskan solat tersebut kerana aku memahami betapa berat perasaan ibunya kerana tangisan anaknya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 709)
#3 – Jika Imam Sedang Berkhutbah
Jika anda datang ke masjid untuk menunaikan solat jumaat dan melihat imam sedang berkhutbah sedangkan anda ingin menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid, maka boleh meringkaskan solat tersebut bagi mendengar khutbah.
جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ ، فَجَلَسَ ، فَقَالَ لَهُ : ( يَا سُلَيْكُ ، قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا)، ثم قال: (إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
Maksud: “Sulaik al-Ghathafani datang di hari Jumaat ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Sulaik pun duduk, maka Baginda bersabda: “Wahai Sulaik, berdirilah kemudian solat dua rakaat dan percepatkanlah solatnya.” Setelah itu, Nabi bersabda: “Jika kalian mendatangi masjid di hari Jumaat ketika imam sudah berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan percepatkanlah solatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 875)
#4 – Solat Sunat Sebelum Subuh
Dari ‘Aisyah RA, ia berkata:
كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ بيْنَ النِّدَاءِ والإِقَامَةِ مِن صَلَاةِ الصُّبْحِ
Maksud: “Rasulullah SAW biasanya solat dua rakaat yang ringkas diantara azan dan iqamah solat Subuh.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 738)
No comments: