Rasa Bersalah Dengan Dosa, Cukupkah Dengan Bertaubat
Setiap orang yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Ia tidak kira besar atau kecil, berat atau ringan, kesalahan yang baru atau yang lama, dosa terhadap orang lain atau diri sendiri, kita pasti pernah melakukan salah satunya.
Dan nasihat yang sentiasa diterima apabila melakukan dosa adalah “taubatlah”.
Namun, cukupkah hanya dengan taubat?
Jika dosa besar dilakukan – contohnya zina, cukupkah sekadar berada di atas tikar sejadah memohon ampun kepada Allah.
Rasa menyesal dan tidak tenang masih terbuku di hati sekalipun dosa tersebut telah lama ditinggalkan – takut-takut jika tidak dihukum di dunia, azab Allah akan lebih berat di akhirat kelak.
Maka adakah perlu melaporkan kesalahan diri yang telah dilakukan kepada pihak berwajib atau jabatan agama? Adakah seorang yang melakukan dosa yang sama perlu menjalani hukuman sebat atau rejam? Adakah hukuman zina boleh gugur kerana taubat?
Taubat Diterima
Apabila meneliti ulasan yang diberikan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, pendapat yang disepakati adalah hukuman zina boleh gugur kerana taubat selagi mana ia tidak diadukan kepada hakim. Jika hukuman tersebut telah diadukan maka ia tidak boleh lagi digugurkan dan harus diadili.
Ia adalah pendapat yang diguna pakai dalam Mazhab Hanbali dan pandangan sebahagian ulama’ Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie.
Diqiaskan Kepada Hukuman Hirabah
Gugurnya hukuman juga diqiaskan kepada gugurnya hukuman hirabah (merampas harta orang lain), sedangkan kesalahan hirabah membawa mudarat yang lebih besar kepada masyarakat.
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanya mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka bertimbal balik atau dibuang negeri. Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka mendapat seksaan yang pedih. Kecuali orang-orang yang bertaubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka. Maka ketahuilah bahawasanya Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang.” (Surah Al-Maidah 5:33-34)
Kisah Ma’iz bin Malik
Kita juga pasti pernah mendengar sebuah kisah yang masyhur ini. Ia tentang seorang lelaki bernama Ma’iz bin Malik yang datang bertemu Nabi dan mengaku bahawa dia berzina. Lalu Nabi bertanya berkali-kali – dia datang kemudian Nabi menyuruhnya pulang serta bertaubat dan memohon istighfar kepada Allah.
Apabila Ma’iz tetap ingin Nabi SAW menjalankan hukuman ke atasnya, dan membersihkan dosa di dunia, Nabi akhirnya memperkenankan permintaanya.
Imam Nawawi ketika mengulas hadis ini menyebut bahawa ia adalah dalil terhapusnya dosa pelaku dosa besar dengan taubat dan ia juga disepakati oleh majoriti ulama’.
Ia juga menunjukkan bahawa taubat dapat menghapus kesalahan yang berkait dengan hak Allah.
Walau bagaimanapun, hukuman yang dikenakan ke atas Ma’iz pula adalah kerana dia sendiri memilih hukuman tersebut.
Ibnu Taimiyyah pula memberi ulasan berikut tentang hal ini,
“Sesungguhnya taubat itu membersihkan diri daripada dosa, dan taubat juga membersihkan diri daripada dosa, dan ketika mereka memilih untuk membersihkan diri daripada dosa bukan sahaja dengan cara bertaubat, tetapi juga dengan cara dilaksanakan hukuman maka Rasulullah SAW melaksanakan hukuman tersebut”. (Kitab I’lam Al-Muwaqqi’in – dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan)
Orang Yang Bertaubat Seperti Tidak Pernah Melakukan Dosa
Orang yang benar-benar bertaubat seperti tidak pernah melakukan dosa. Kesalahannya dihapus oleh Allah dan tidak lagi dikira.
Nabi SAW bersabda,
التائب من الذنب كمن لا ذنب له
Maksudnya: “Orang yang (benar-benar) bertaubat daripada dosa adalah seperti mereka yang tidak ada dosa.” Riwayat Ibnu Majah (4250)
Tambahan pula, Allah juga menurunkan ayat menunjukkan bahawa orang yang melakukan kesalahan maksiat mestilah melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.
“Dan bagi dua orang yang melakukan perbuatan keji di antara kamu, maka berilah hukuman kepada keduanya, kemudian jika keduanya bertaubat dan memperbaiki diri mereka maka biarlah mereka (yakni jangan dikenakan hukuman ke atas mereka berdua.”(Surah An-Nisa’ 4:16)
Betapa besar keampunan yang Allah sediakan buat orang yang sudah sepenuhnya menyesal atas dosa yang dilakukan. Allah berkenan mengampunkannya dengan syarat kita benar-benar bertaubat dengan penuh keihklasan dan ketulusan, meninggalkan dosa yang dilakukan dan terus memperbaiki diri ke arah kebaikan.
Allah tahu jiwa mana yang ingin kembali kepadaNya dan jiwa mana yang berdusta. Justeru, Allah menutup aib dan masih memberikan peluang untuk kita kembali kepadaNya.
Rujukan:
Baca juga:
Apa Itu Taubat Nasuha
Allah Mengasihi Orang Yang Berterusan Melakukan Taubat
No comments: