Dua Lagi Pesakit Covid-19 Dari China Di Malaysia Berjaya Disembuhkan
Separuh daripada 22 kes jangkitan COVID-19 di Malaysia berjaya sembuh. Menurut kenyataan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, hanya seramai 11 pesakit masih dirawat di Malaysia sehingga hari ini.
Kisah gembira sebalik perjalanan kesembuhan dua pesakit dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya.
“Satu gambar, seribu kata”, saat ceria untuk kes ke-7 dan isterinya (kes ke-8) telah discaj pagi ini dari Hospital Permai Johor Baru.
Kes ketujuh dimasukkan ke hospital pada 27 Jan dan keadaan semakin buruk akibat hypoxia teruk pada hari ketiga dimasukkan ke wad. Radiografi dada menunjukkan pneumonia yang semakin buruk dan dia mula diberikan lopinavir/Ritonavir 2 tablet 2 kali sehari pada 30 Jan dan ditambah Oseltamivir pada 3 Februari ketika keadaannya semakin teruk hingga memerlukan topeng oksigen aliran tinggi 15L/min.
Pada hari kesembilan rawatan, dia mula menunjukkan peningkatan yang ketara sehingga ujian mendapati dia negatif COVID-19 dan dibenarkan keluar hari ini.
Kes kelapan melibatkan isterinya yang didiagnos ketika saringan kontak rapat. Dia pada mulanya tidak menunjukkan simptom ketika saringan. Walaubagaimanapun, simptom telah muncul pada hari kedua dimasukkan ke wad iaitu batuk kering dan sakit tekak, tidak demam.
Radiografi dadanya tidak menunjukkan sebarang masalah.
Sampel diambil pada 5 Feb menunjukkan negatif COVID-19. Walaubagaimanapun, dia ingin terus tinggal sehingga suaminya dibenarkan pulang. Kami jalankan ujian lagi bila suaminya telah sembuh sepenuhnya dan keputusan negatif dalam kedua-dua ujian. Mereka telah izinkan untuk kami berkongsi gambar dan video mereka.
Terima kasih buat staf kementerian kesihatan, Dr Masliza Zaid, Pakar Penyakit Berjangkit dan pasukan, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Aman Rabu dan pasukan, pakar perubatan, jururawat-jururawat dan tak terkecuali tukang cuci Medivest yang dengan berani dan rajin membersihkan wad isolasi dan tandas.
Tiada lagi pesakit positif di Johor Baru. Alhamdulillah dan moga kita semua dirahmati.
Sumber: Noor Hisham Abdullah
The post Dua Lagi Pesakit Covid-19 Dari China Di Malaysia Berjaya Disembuhkan appeared first on Siakap Keli.
No comments: