Ads Top

Hikmah Orang Yang Menuntut Ilmu Dimudahkan Jalan Ke Syurga

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang menempuh jalan menuntut ilmu akan dimudahkan jalannya ke syurga.

Hal ini membuat saya tertanya-tanya, mengapa sebegitu besar dan istimewa ganjaran yang diberikan oleh Allah kepada orang yang menuntut ilmu.

Jika zaman dahulu, kita faham bahawa proses menuntut ilmu itu payah kerana jarak yang sangat jauh dan memakan masa berbulan lamanya untuk sampai. Tidak ada kenderaan yang laju – selesa berbumbung dan berhawa dingin seperti sekarang. Mereka yang ingin mencari ilmu perlu menaiki haiwan tunggangan sahaja untuk ke satu-satu tempat dan memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Cabaran Menuntut Ilmu Berubah Mengikut Masa Dan Zaman

Keistimewaan yang disebutkan Rasulullah SAW tentang orang yang menuntut ilmu ini bukan hanya untuk mereka yang hidup pada zaman lampau. Kerana bagi saya kesusahan dalam menuntut ilmu juga berubah mengikut keadaan.

Memang zaman yang semakin maju memudahkan kita mendapatkan maklumat, namun cabaran pada masa sekarang lebih kepada menilai dan memilih ilmu mana yang bermanfaat. Itu belum diambil kira lambakan maklumat yang kadang-kadang sangat mengelirukan.

Cabaran lain yang wujud adalah dengan adanya kemudahan internet dan telefon pintar – kita lebih sukar mengawal diri daripada terleka. Tumpuan ketika belajar atau menyiapkan tugasan juga boleh terganggu apabila diri sentiasa ‘melekat’ dengan telefon. Bahkan, kita jadi semakin malas untuk belajar perkara-perkara baharu walaupun informasi tentang perkara tersebut berada di hujung jari sahaja.

Selain itu, yuran pembelajaran juga menjadi cabaran menuntut ilmu sekarang. Sistem pendidikan daripada peringkat rendah hingga peringkat tinggi seperti kolej dan universiti menuntut keperluan duit dan masa yang panjang. Jika dihitung tempoh purata seseorang itu belajar (secara formal) – sekolah rendah (6 tahun), sekolah menengah (5 tahun), ijazah sarjana muda (3-4 tahun), ijazah sarjana (2-3 tahun) dan peringkat Kedoktoran PhD (4 tahun), kesemuanya adalah 21 tahun. Kadang-kadang tempoh yang lama ini pun tidak menjamin kepakaran dan keilmuan seseorang.

Justeru, usaha menuntut ilmu tidak pernah mudah – sesuai dengan peringkat umur dan juga zaman.

Kisah Ilmuwan Yang Menuntut Ilmu Walau Terlantar Sakit

Ilmu adalah harta yang tidak ternilai – dan anjuran mencari ilmu bukan terhad pada orang dewasa, atau yang sihat dan berharta sahaja.

Kita pasti pernah mendengar tentang kisah seorang sahabat bernama Abdullah Ibnu Ummi Makhtum yang tetap datang ke majlis ilmu Nabi SAW walau dalam keadaan buta. Kita juga pernah mendengar tentang kisah Ibnu Abbas yang ditanya tentang makna surah An-Nasr sekalipun ketika itu beliau masih kecil.

Dan ada pula cerita tentang seorang lelaki yang masih bertanya tentang ilmu walau sudah terlantar di katil sakit. Beliau adalah Abu Yusuf Al-Qhadi iaitu anak didik kepada Imam Abu Hanifah.

Pada suatu hari beliau dikunjungi oleh sekelompok orang, lantas beliau bertanya mereka:

“Jika seseorang menunaikan haji, dan telah sampai ke tahap Rami al Jamarat (melontar batu ketika hari ketiga dari hari Aidil Adha), adakah lebih baik baginya melakukan hal tersebut dalam keadaan berjalan atau menaiki kenderaan?”

Orang yang kagum dengan semangatnya menuntut ilmu, membalas:

“Semoga Allah SWT mengampunimu, Abu Yusuf! Sedangkan di penghujung hayatmu, engkau masih bertanya tentang hal ini?”

Beliau menjawab: “Aku lebih sanggup bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan mengetahui jawapan kepada persoalan tersebut, berbanding bertemu Allah dalam keadaan jahil tentangnya.”

Kesimpulannya, tuntutan menuntut ilmu ini berjalan sepanjang seorang manusia itu hidup. Kita memerlukan ilmu untuk hidup di dunia, dan kita juga memerlukan ilmu untuk hidup di akhirat. Dengan ilmu yang sesuai dan benarlah yang akan membuatkan kita selamat dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

“Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al Quran dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, mereka akan diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

Barang siapa yang ketinggalan amalnya (untuk masuk syurga), maka nasabnya (keturunannya) tidak akan boleh meninggikannya untuk masuk syurga).’ (HR Muslim, no. 4867 – Status Hadis Sahih)




No comments:

Powered by Blogger.