Ads Top

Cita-Cita Kepada Pahala Atau Dosa?

Hidup hanya sekali. Alangkah sia-sia sekiranya cita-cita cuma ditumpukan untuk mengejar duniawi. Sungguhpun sudah bersekolah bertahun-tahun dan menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi, ilmu akhirat juga perlu dicari.

Cita-cita bermaksud harapan, hasrat, keinginan yang kuat serta maksud atau tujuan yang hendak dilaksanakan. Jadi, cita-cita merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan. Dengan cita-cita dan keinginan sahaja boleh menentukan sama ada kita bergerak untuk merebut pahala ataupun mendapat dosa.

Berpandukan al-Quran, telah dituliskan cara untuk mencapai suatu keinginan. Caranya adalah seperti berikut:

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(Surah An-Nisa’ 4:32)

Berdasarkan keratan ayat di atas, usaha dan doa sangat penting dalam mengejar cita-cita. Apa-apapun yang kita mahukan, berserahlah kepada Allah SWT. Semoga dengan kebergantungan kita terhadap Allah SWT menjadikan kita seorang hamba yang soleh.

Kadang-kadang kita terleka dengan dunia yang terlalu indah. Gelaran, panggilan yang mahu dikejar tidak menjanjikan kehidupan bahagia di alam barzakh. Kita semua hanya akan dipandang dari segi amalan yang kita lakukan di dunia.

Tidak salah untuk berjuang bagi mendapatkan gelaran doktor, profesor dan berbagai-bagai lagi gelaran. Namun, sayang sekali jika salah memasang niat dalam mengejar keinginan kita.

Justeru, kita hendaklah berpandukan Al-Quran dan hadis dalam mencapai apa yang kita inginkan.

Selain itu, jangan biarkan usia dihabiskan demi mendapat pujaan dan pujian. Semasa kita tiada lagi di muka bumi ini, hanya tiga perkara atau amalan kita ini yang akan kekal berterusan.

1. Ilmu yang bermanfaat
2. Sedekah jariah
3. Doa anak-anak soleh

Justeru, jangan terpedaya dengan dunia. Jika kita tersilap langkah, kita akan menyesal di kemudian hari. Ini adalah kerana niat dan cita-cita yang sia-sia sahaja jelas sekali akan membawa kita jauh dari pintu syurga.

Sesungguhnya, cita-cita merupakan impian dan sesuatu perkara yang terlintas di hati. Sekiranya impian kita itu menuju ke sesuatu yang baik, in shaa Allah akan diterima oleh Allah SWT walaupun cuma keinginan dan cita-cita untuk berbuat baik. Meskipun dengan usaha atau modal yang kecil, kita akan mendapat ganjaran besar dan lumayan di akhirat nanti.

Oleh itu, kita perlulah berhati-hati dengan cita-cita dan segala impian yang kita hajati. Sungguhpun kita bekerja keras dan tekun untuk menggapai cita-cita yang salah itu, kita tetap akan berada dalam kerugian pada esok hari.

Semak kembali segala keinginan dan cita-cita. Adakah cita-cita kita itu sebenarnya menuju kepada Allah SWT ataupun tidak? Misalnya, tanyalah pada diri sendiri soalan sebegini:

Apa yang kau inginkan?
Aku ingin kaya.

Mengapa kaya yang diinginkan?
Aku mahu membantu ramai orang.

Apa pula yang kau inginkan?
Aku nak pakai semua barang branded.

Mengapa itu yang kau mahukan?
Barulah nampak style, kaya ataupun saja-saja dan sebagainya.

Setiap ungkapan yang jujur diluahkan daripada diri sendiri mencerminkan hati kita. Jika kita lebih dekat dengan jawapan yang lebih ke arah negatif dan melibatkan dunia, fikirlah kembali. Muhasabah diri dan carilah impian yang membawa kita berada dalam laluan benar ke syurga.

Dalam riwayat Imam al-Hakim, menukilkan Saidina Umar al-Khattab RA yang melihat rakyatnya berhimpun dan berkumpul, bertanya mengenai apa yang mereka lakukan. Rakyatnya menjawab:

“Kami sangat bercita-cita dan mengharapkan sesuatu.”

Apabila Umar bertanyakan apakah perkara yang dicita-citakan itu, sebahagian besar memberikan jawapan berupa bilik yang dipenuhi dengan intan permata dan emas yang akan disedekahkan atau digunakan di jalan Allah.

Namun begitu, apabila tiba giliran Umar menjawab soalan sama daripada rakyatnya, beliau menyatakan beliau tidak mahukan intan dan permata. Sebaliknya beliau mahukan tempat mereka itu dipenuhi dengan insan terbilang daripada kalangan sahabat RA seperti Abu Ubaidah al-Jarah.

Ini adalah kerana ia boleh menjadi contoh teladan dalam beramal kepada Allah SWT tanpa mengharapkan balasan di dunia sebaliknya cuma ganjaran pahala Allah.

Maka kembalilah pada Allah SWT saat merasakan diri kita telah berada dalam laluan yang jauh di sisiNya. Kita hanya manusia yang lemah dan kerap melakukan kesalahan. Namun begitu, masih ada masa dan peluang untuk memperbetulkan keadaan dan cita-cita.

Seperti ungkapan lirik lagu Hijjaz yang bertajuk Fatamorgana:

“Begitu indah dunia siapapun kan tergoda,
Harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa,
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai,
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi,
Pulanglah kepada Tuhan cahaya kehidupan,
Keimanan ketakwaan kepadanya senjata utama…”

Oleh yang demikian, segeralah bercita-cita kepada perkara yang boleh meraih pahala dan keberkatan. Sesungguhnya, usaha yang seiring dengan doa berterusan bakal menghasilkan kejayaan. Kalau tiada cita-cita, binalah keinginan sekarang agar dengan niat ikhlas itu akan menggerakkan diri dalam perjalanan menuju kebaikan. Moga kita semua dijauhkan daripada azab api neraka.




No comments:

Powered by Blogger.