Terlalu Lembut Nyanyi Anta Permana, Bob Yusof Abai Kritikan Netizen
Penyanyi Bob Yusof mengambil pendekatan enggan terlalu memikirkan kritikan netizen yang mendakwa dirinya terlalu lembut membawakan lagu Anta Permana nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza pada saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM 34), November lalu.
Bob menggantikan Siti Nurhaliza untuk lagu Anta Permana yang merupakan ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Lagu tersebut berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) yang akan berlangsung pada 9 Februari ini.
“Saya hanya mempersembahkan lagu itu mengikut gaya saya sendiri. Mungkin pandangan orang berbeza-beza bila ada yang kata saya terlalu lembut dan lentik di atas pentas. Tapi saya ambil pendekatan tidak kisahlah netizen nak cakap macam mana yang penting persembahan saya dapat memuaskan hati komposer dan penyanyi asal lagu
“Saya memang baca semua komen-komen yang diberikan tapi kalau ada komen yang terlalu melampau memang saya buat tidak tahu sahaja. Saya lebih suka baca kritikan membina yang mana saya boleh menambah baik lagi persembahan di masa akan datang.
“Datuk Siti sendiri sudah berpesan kepada saya agar bawa dengan gaya saya sendiri ketika menyanyikan lagu itu dan itu yang saya buat,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) yang berlangsung di The Linc, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercakap mengenai persiapannya, Bob berkata setakat ini sebanyak 20 peratus sudah dilaksanakannya dan setiap keputusan berhubung persembahan akhir itu perlu mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat.
“Saya menggalas peranan menyanyikan lagu orang dan disebabkan itu saya kena sering bertanya kepada komposer dan penyanyi asal. Perkara itu tidak merimaskan saya sebab saya sentiasa nak tahu apa kehendak penyanyi dan komposer dan seboleh mungkin saya cuba untuk puaskan hati mereka.
“Hael ada citarasa dia yang tersendiri dan begitu juga Datuk Siti, disebabkan itu saya kena ambil tahu pendapat kedua-dua belah pihak,” ujarnya lagi.
Anta Permana bakal bersaing dengan 11 finalis AJL 34. Program itu bakal dihoskan trio pengacara, Sherry Al-Hadad, Awal Ashaari dan Haziq Hussni. – KopiPlanet.com
The post Terlalu Lembut Nyanyi Anta Permana, Bob Yusof Abai Kritikan Netizen appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: