‘Free Rider’ Dalam Tugasan Berkumpulan
Istilah free rider biasa kita dengar dalam kalangan pelajar dan golongan mahasiswa di universiti. Selalunya gelaran ini timbul apabila ada antara ahli kumpulan yang tidak menjalankan tugasan yang diberikan tetapi masih mengambil manfaat dan faedah daripada menjadi ahli kumpulan tersebut.
Antara tindakan yang dilakukan yang biasanya mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati ahli yang lain seperti – tidak hadir sewaktu perbincangan kumpulan, tidak menyumbang sebarang idea, tidak menjadi ahli yang aktif, melakukan kerja secara sambil lewa dan banyak lagi.
Telah ada anjuran yang jelas disebutkan dalam Al-Quran tentang sikap tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Perkara ini perlu dipraktikkan dalam segenap lapangan kehidupan sama ada di dunia pembelajaran, sektor pekerjaan mahupun dalam pergaulan hidup seharian.
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.(Surah al-Ma’idah 5:2)
Bahkan, apabila pertolongan itu telah melibatkan tanggungjawab yang tidak dapat tidak, wajib dilakukan bagi menyempurnakan tugasan, maka ia sudah menjadi amanah yang wajib diselesaikan.
Dalam hal ini, tugasan yang pada awalnya diberi oleh pengajar atau pensyarah, kemudian diarahkan pula oleh ketua kumpulan, mestilah diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Allah menyebutkan melalui firmanNya:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya) (Surah al-Anfal 8:27)
Malah Rasulullah SAW mengingatkan tentang tanda-tanda orang munafik, yang merangkumi tiga ciri yang saling berkait.
Baginda SAW bersabda:
آيَةُ المُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati. (Riwayat al-Bukhari, no.33 & Muslim, no.59)
Dalam permasalahan free rider yang dibincangkan ini, sudah pasti ia bertepatan dengan ciri yang disebutkan dalam hadis di atas. Selain itu, mereka juga cenderung mempunyai sikap di bawah.
1. Menipu
Banyak alasan yang akan diberikan bagi mengelak daripada melakukan tugasan yang telah ditetapkan sehingga akhirnya terpaksa berdusta dan bersikap tidak jujur.
Ada pula yang akan memperdaya rakan dengan pelbagai helah sehingga menyusahkan dan melambatkan masa. Awas, tindakan menipu ini tidak akan terhenti di situ sahaja. Ia akan membawa kepada ciri ke dua dalam hadis di atas iaitu tidak menepati janji.
2. Menzalimi Orang Lain
Zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya. Sikap menzalimi orang lain bukan hanya berlaku pada orang yang berpangkat, berharta dan berkuasa sahaja malah boleh jadi sesama rakan-rakan atau ahli keluarga.
Sikap menzalimi orang lain dalam urusan kerja dan juga tugasan bermaksud menganiaya, menyakiti perasaan orang lain, mensia-siakan usaha mereka, tidak menghargai serta tidak menunaikan hak orang lain yang wajib dijalankan.
Dalam isu ini biasanya jelas dilihat sikap seseorang free rider yang mengambil hasil daripada kerja keras ahli kumpulan lain seperti markah yang sama rata, ganjaran serta penghargaan yang sudah tentu tidak setimpal dengan usaha yang mereka lakukan.
Rasulullah SAW bersabda:
اسْمَعُوا مِنِّي تَعِيشُوا، أَلَا لَا تَظْلِمُوا، أَلَا لَا تَظْلِمُوا، أَلَا لَا تَظْلِمُوا ; إِنَّهُ لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ
Maksudnya: “Dengarlah dengan kata-kataku ini dan hiduplah (berpegang teguh) dengannya, ketahuilah janganlah kamu menzalimi, janganlah kamu menzalimi, janganlah kamu menzalimi, sesungguhnya tidak halal bagi kamu harta orang Muslim yang lain melainkan atas kerelaannya”. (Lihat Majma’ al-Zawaid – 3/265)
3. Mencetuskan Pergaduhan
Lebih malang jika masalah free rider ini tidak dibendung dan diuruskan pada peringkat awal, ia boleh mengundang permusuhan dan pergaduhan yang berpanjangan dek kerana sikap sendiri yang tidak mahu mengalah dan mengaku salah. Malah, jika ia berulang, pasti di akhirnya rakan-rakan dan pensyarah akan hilang kepercayaan kepada si pelaku.
Kesimpulan
Sikap mengambil kesempatan begini adalah sikap yang tidak patut ada sebenarnya pada orang yang sedang menuntut ilmu. Usaha untuk mendapatkan ilmu bukan hanya sekadar datang ke kelas sahaja.
Tugasan yang diberikan sepanjang tempoh pembelajaran pula pasti bukan suatu yang sia-sia. Ia sudah pasti bertujuan untuk mempersiapkan seorang penuntut supaya mempunyai kemahiran, ilmu pengetahuan serta cara fikir yang masak dan matang untuk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: