Perlukah Menunaikan Solat Sunat Witir Selepas Tahajud
Solat sunat tahajud merupakan salah satu solat yang dilakukan sewaktu qiamullail selain solat sunat hajat dan solat sunat taubat.
Antara sunnah lain selepas selesai solat-solat sunat ini ialah menunaikan solat sunat witir sama ada satu, tiga atau lima rakaat. Ia perlu dilakukan dalam rakaat yang ganjil bergantung kepada kemampuan seseorang.
Menurut perbahasan para ulama, solat sunat witir hukumnya adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang digalakkan untuk dilakukan.
اَلْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوْتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوْتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوْتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ
Maksud: “Solat witir adalah hak ke atas setiap muslim. Barangsiapa yang ingin berwitir dengan lima rakat, maka lakukanlah. Sesiapa yang ingin berwitir dengan tiga rakaat, maka lakukanlah dan sesiapa yang ingin berwitir dengan satu rakaat, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no 1422)
Terdapat beberapa riwayat seperti riwayat Muslim dan juga riwayat Abu Daud menyebutkan bahawa, Baginda SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat witir sama ada dalam qiamullail mahupun ketika melakukan tarawih.
Witir Yang Bermaksud Ganjil
Ia dinamakan dengan witir yang berasal daripada perkataan Arab (وِتْر) kerana membawa maksud ganjil. Solat ini dilakukan secara ganjil dan bukan dalam bilangan genap.
Menurut perbahasan ulama juga, Allah itu sifatNya Maha Esa dan Dia mencintai yang ganjil. Hal ini ada diriwayatkan dalam hadis Muslim yang berbunyi:
وَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ
Maksud: “Sesungguhnya Allah itu witir dan mencintai yang witir (ganjil).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2677)
Berkenaan dengan persoalan adakah tidak mengapa untuk meninggalkan solat sunat witir selepas melakukan tahajud atau dalam qiam, para ulama berpendapat bahawa hukumnya tidak berdosa kerana ia adalah sunat sahaja dan tidak jatuh hukum wajib menunaikannya.
Walau bagaimanapun, ia merupakan sunat muakkad yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, menjadi tuntutan kepada hambaNya yang melakukan qiamullail untuk menambah bilangan solat dengan solat witir dan bilangan rakaatnya adalah bergantung kepada kemampuan anda.
Baginda SAW amat menjaga ibadahnya walau ia dilihat kecil dan mudah kerana ia merupakan salah satu cara untuk menjaga hubungan dengan Allah.
Oleh itu, tidak salah untuk meluangkan sedikit masa dan tenaga anda kepada solat witir selepas qiam, namun jangan dijatuhkan hukum berdosa terhadap mereka yang tidak melakukan solat sunat witir.
Wallahu a’alam.
Baca Juga:
Solat Sunat Witir
No comments: