Ads Top

Jalan Lurus Yang Berliku-liku

Menjadi adat kehidupan dunia pasti ada pasang surutnya. Seperti perniagaan yang mengalami keuntungan dan juga terselit kerugian.

Tidak semestinya sesebuah perniagaan itu akan maju dan sentiasa sukses. Ada waktunya mundur dan kurang mendapat perhatian dan sambutan hebat.

Hidup ini diibaratkan seperti roda yang berputar. Kadang kala kita berada di atas dan ada masanya kita jatuh tersembam ke bawah. Ada kala kita dipuji melangit dan ada saatnya kita dicemuh dan dihina.

Tatkala kita berada di jalan yang benar. Jalan yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Kita pasti mengidamkan kehidupan yang sentiasa harmoni, sejahtera dan dipenuhi dengan kebahagiaan.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Mendung tiba-tiba datang melanda. Kehidupan kita dihinggap pula masalah dan ujian. Kejadian yang kita tidak mahu ia terjadi di dunia realiti secara tiba-tiba menjadi kenyataan.

Perasaan kita pasti tersentuh kerana kita juga manusia biasa. Biasalah kalau mata basah dengan air mata. Kesedihan tidak dapat diselindung kerana ujian menimpa diri yang bersifat kerdil lagi lemah.

Perjalanan hidup yang kita inginkan adalah menuju ke jalan yang lurus. Jalan yang menuju ke syurga idaman kita. Tetapi sebelum menuju ke penghujungnya kita akan melalui liku-liku kehidupan yang bermacam ‘perasa’. Ada sedih. Ada duka. Ada marah. Ada gembira.

Buat Baik Pun Dikecam!

Kini menjadi satu kemestian seperti timbulnya pelbagai tular semasa yang akan menghebohkan negara. Dalam banyak-banyak tular yang ada, ada juga beberapa tular yang baik untuk kita contohi.
Tular yang baik tidak salah kita menyokongnya berbanding tular yang membawa keburukan dan dosa. Tetapi ada juga sebahagian kecil manusia yang memandang negatif perbuatan baik seseorang yang ditularkan.

“Tunjuk alim konon. Nak terkenal cakaplah!”

“Riyak! Rugi je buat baik!”

“Berlakon baik je ni!”

Mungkin ini di antara komen bagi sesuatu viral yang baik yang disebarkan. Tidak kiralah apa-apa pun perbuatan kita pasti ada ‘suara-suara halus’ yang akan menjatuhkan kita. Itulah lumrah kehidupan kita.

Orang yang berjaya akan mengambil komen-komen negatif sebagai pembakar semangatnya untuk terus berjaya. Jangan memandang ia sebagai satu racun tetapi pandanglah ia sebagai satu semangat untuk terus melakukan kebaikan.

Jika dilayan lagi ia menjadi-jadi. Oleh itu, teruskan berjalan dan yang penting segala perbuatan yang kita lakukan adalah benar dan tidak menyalahi syarak. Imam Syafie berkata:

“Bersungguhnlah dalam (melakukan) apa yang memberi manfaat buat dirimu dan abaikan kalam manusia kerana tiada jalan keluar yang mampu menyelamatkanmu daripada lisan mereka.”

Contohilah seperti Rasulullah S.A.W walaupun pelbagai rintangan dan cabaran yang melanda, baginda S.A.W tetap meneruskan kerja dakwahnya. Ia tidak mematahkan semangat baginda kerana Allah sentiasa bersamanya. Tidak gusar dan bimbang kerana janji Allah itu pasti.

Buat jahat pun orang kecam dan benci. Lebih baik buat baik kerana walau orang tidak suka tetapi Allah redha dengan perbuatan kita. Buat baikkan lebih baik!

Ujian Membawa Kekuatan

Jangan menyangka jika kita sudah beriman dan mengikut segala perintah Allah serta meninggalkan laranganNya akan membuatkan kita lut daripada ujian.

Ujian akan tetap datang kerana status kita tetaplah sebagai seorang hamba Allah. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) apabila mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi?”Surah al-’Ankabut 29:2

Percayalah ujian itu hadir ada hikmahnya. Hadirnya cubaan kerana Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Dengan sedikit kesusahan di dunia, dosa-dosa kecil kita terhapus.

Apabila minda kita memikirkan ujian itu dalam bentuk positif maka diri kita menjadi lebih kuat kerana ujian itu datang untuk menghapuskan dosa dan mengangkat darjat kita.

Bukan kerana kita disisihkan dan diketepikan tetapi kita insan terpilih yang menerima ujian itu. An-Nu’man bin Basyir berkata yang bermaksud:

“Sesungguhnya tidaklah berbaki lagi di dunia ini kecuali bencana dan fitnah, maka bersiaplah untuk menghadapinya dengan bermodalkan kesabaran.” Jami’ Al-Ahadis 10/66

Kesimpulannya, marilah kita memohon dengan berdoa kepada Allah agar diberi hati yang cekal dan kuat untuk menghadapi ujian.

Selain itu, ditetapkan iman dan dimatikan dalam Islam. Semoga ibadah kita diterima dan hidup kita di dalam rahmatNya.

Masing-masing pasti akan diuji. Cukup-cukuplah menganggap ujian kita ini yang terlalu besar kerana ada insan lain yang lebih berat mendapat kesusahan dan kepayahan hidup.

Yang pasti kita tidak keseorangan tika ujian menjelma kerana Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar. Waallahu a’lam.

Rujukan:

1. Tenang dengan Ujian-(Penulis: Dato’ Dr. Hj. Abd Basit Hj. Abd Rahman)
2. Sila Baca Jangan Tidur-(Penulis: Dr Kamilin Jamilin)




No comments:

Powered by Blogger.